SHAH ALAM – Orang ramai di beberapa negeri dinasihatkan berwaspada berikutan jangkaan hujan lebat, ribut petir dan angin kencang pagi ini.
Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) menerusi amaran cuaca yang dikeluarkan pagi ini memaklumkan keadaan cuaca berkenaan dijangka berlaku di seluruh Perlis serta beberapa kawasan di Kedah.
Antara kawasan di Kedah yang berpotensi terjejas ialah Bandar Baharu, Kulim, Baling, Kuala Muda, Yan, Sik dan Langkawi.
Seluruh Pulau Pinang turut berada dalam kawasan yang diramalkan mengalami cuaca berkenaan.
Di Perak pula, keadaan sama dijangka berlaku di tiga daerah iaitu Kerian, Selama dan Hulu Perak.
Sementara itu, di Selangor, kawasan yang berpotensi dilanda hujan lebat dan ribut petir termasuk Kuala Selangor, Klang, Sabak Bernam, Kuala Langat dan Sepang.
Menurut METMalaysia, amaran ribut petir dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan berlakunya ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 milimeter sejam atau dijangka berlaku melebihi tempoh sejam.
Orang ramai di kawasan yang terlibat dinasihatkan supaya mengambil langkah berjaga-jaga, khususnya ketika melakukan aktiviti luar, selain sentiasa mengikuti perkembangan terkini keadaan cuaca yang dikeluarkan pihak berkuasa.
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan
Dalam perkembangan sama, METMalaysia turut mengeluarkan amaran angin kencang dan laut bergelora bagi beberapa kawasan perairan.
Bagi amaran kategori kedua, angin kencang barat daya dengan kelajuan antara 50 hingga 60 kilometer sejam serta ombak setinggi sehingga 4.5 meter dijangka berlaku di kawasan perairan Phuket sehingga Isnin ini.
Keadaan laut berkenaan boleh membahayakan semua aktiviti perkapalan dan kegiatan di kawasan pantai, termasuk aktiviti menangkap ikan serta perkhidmatan feri.
Sementara itu, bagi amaran kategori pertama, angin kencang barat daya dengan kelajuan antara 40 hingga 50 kilometer sejam dan ombak setinggi sehingga 3.5 meter dijangka berlaku di kawasan perairan Utara Selat Melaka, Utara Condore, Utara Reef North, Palawan dan Layang-Layang dalam tempoh sama.
METMalaysia memaklumkan keadaan tersebut berbahaya kepada bot kecil, selain aktiviti rekreasi dan sukan air.
Sehubungan itu, orang ramai yang berada di kawasan pantai serta pengusaha dan pengguna bot kecil dinasihatkan supaya meningkatkan tahap kewaspadaan dan mengelakkan aktiviti laut sekiranya keadaan cuaca dan ombak menjadi tidak selamat.
Orang ramai juga disaran mendapatkan maklumat terkini daripada METMalaysia sebelum merancang perjalanan atau aktiviti luar, terutama di kawasan yang berada dalam senarai amaran cuaca.
Telegram: Nasional Daily
Facebook: Nasional Daily
TikTok: NasionalDaily
Whatsapp: NasionalDaily.com
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
