WISH 2026 Raikan Kecemerlangan Wanita, Nuruhidayah Seru Perkukuh Kepimpinan dan Jaringan Kerjasama

Oleh: Manzaidi Mohd Amin

KUALA LUMPUR – Pengerusi Women Inspiring and Successful Hub (WISH) 2026, Datuk Nuruhidayah Ahmad Zahid menyeru lebih ramai wanita daripada pelbagai latar belakang dan bidang kepimpinan untuk terus berganding bahu memperkasakan peranan wanita sebagai pemacu pembangunan negara.

Beliau berkata, penyertaan wanita dalam pelbagai sektor bukan sahaja penting dalam merangsang pertumbuhan ekonomi, malah menjadi asas kepada pembentukan komuniti yang lebih progresif, inklusif dan berdaya tahan.

Menurutnya, penganjuran Women of Influence, Strength & Honour (W.I.S.H.) Excellence Award 2026 yang bertemakan “Mengiktiraf Wanita, Menginspirasikan Negara” menjadi platform untuk menghimpunkan tokoh wanita, pemimpin industri, profesional, usahawan dan pemimpin masyarakat bagi meraikan pencapaian serta memperkukuhkan jaringan kerjasama.

“WISH bukan sekadar sebuah majlis pengiktirafan, tetapi merupakan platform yang meraikan kekuatan, maruah dan ketokohan wanita melalui kepimpinan yang berintegriti serta komitmen berterusan dalam menyumbang kepada masyarakat.

“Kita menghimpunkan wanita daripada pelbagai bidang kepimpinan kerana setiap daripada mereka memainkan peranan penting dalam mencorakkan masa depan negara melalui kepakaran, pengalaman dan dedikasi masing-masing,” katanya ketika berucap pada majlis berkenaan di Hotel Premiera, di sini, malam tadi.

Nuruhidayah berkata, kepimpinan wanita perlu terus diperkasakan kerana ia merupakan antara elemen terpenting dalam membina komuniti yang mampan dan merangsang pertumbuhan ekonomi yang lebih inklusif.

Beliau berkata, wanita hari ini telah membuktikan keupayaan mereka memimpin serta mencipta perubahan dalam pelbagai bidang termasuk keusahawanan, sektor profesional, korporat, pendidikan dan kepimpinan masyarakat.

Menurutnya, pencapaian tersebut wajar terus diberikan pengiktirafan bagi menggalakkan lebih ramai wanita tampil berani meneroka peluang baharu, sekali gus menyumbang kepada pembangunan negara.

Dalam masa sama, beliau menegaskan usaha memperkasakan wanita tidak seharusnya terhenti kepada pengiktirafan semata-mata, sebaliknya perlu disokong menerusi kerjasama strategik, pembangunan kapasiti dan pembentukan ekosistem yang kondusif.

“Kita mesti terus merapatkan jurang yang masih wujud, memperkukuhkan kepimpinan wanita serta menggalakkan lebih banyak penyertaan mereka dalam pelbagai sektor.

“Pada masa sama, kita perlu memastikan generasi wanita akan datang mempunyai akses kepada ekosistem sokongan yang kukuh agar mereka mampu mencapai potensi terbaik serta terus menyumbang kepada kemajuan masyarakat dan negara,” katanya.

Beliau berharap WISH akan terus menjadi pemangkin kepada pembinaan rangkaian kerjasama yang lebih luas dalam kalangan wanita, sekali gus melahirkan lebih ramai pemimpin wanita yang berwibawa, berintegriti dan mampu menjadi inspirasi kepada generasi akan datang.

Majlis berprestij itu menghimpunkan delegasi antarabangsa, pemimpin industri, tokoh korporat, ahli akademik, pemimpin pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta penerima anugerah dari pelbagai bidang.

Antara kenamaan yang hadir ialah Canselor merangkap Pengerusi Olympia Education Malaysia, Tan Sri Dr. Yusoff Noor; Timbalan Pengerusi W.I.S.H. 2026, Profesor Emeritus Datin Paduka Setia Datuk Dr. Aini Ideris; Mantan Senator merangkap Pengerusi KNKV Group, Datuk Seri Dr. Zurainah Musa; Pengasas dan Pengerusi Women Leadership Foundation, Datuk (Dr.) Hafsah Hashim.

Turut hadir, Timbalan Penaung PUSPANITA Kementerian Dalam Negeri, Datin Seri Hamisah Hussin serta Penaung W.I.S.H. 2026 yang juga Pengerusi Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), Dato’ Sri Hajah Rohani Abdul Karim dan Penasihat Program, Dr. Asma Razalli

Majlis turut diserikan dengan kehadiran Datin Seri Hamidah Khamis, isteri Timbalan Perdana Menteri, manakala majlis perasmian disempurnakan oleh Toh Puan Raja Datuk Seri Utama Noora Ashikin Raja Abdullah, isteri kepada Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang.

Selain ucapan dan persembahan khas W.I.S.H. House of Style serta persembahan artis, acara kemuncak menyaksikan penyampaian 61 anugerah kepada individu, organisasi dan institusi yang telah menunjukkan kecemerlangan serta memberi impak besar kepada pembangunan masyarakat.

Daripada jumlah itu, sebanyak 15 anugerah disampaikan bagi kategori Institusi dan Organisasi, diikuti 26 anugerah bagi kategori Pengurusan dan Masyarakat, manakala 20 lagi anugerah diberikan dalam kategori Ikon dan Kepimpinan.

Majlis yang berlangsung hampir empat jam itu turut diserikan dengan beberapa persembahan artis serta pratonton sebuah filem sebelum melabuhkan tirainya dengan nyanyian Lagu Negaraku dan Lagu Negeri Pulau Pinang, diikuti keberangkatan pulang tetamu kehormat.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *