KUALA LUMPUR – Setiausaha Agung AMANAH, Faiz Fadzil mendakwa, naratif “penyatuan umat” gagal mempertahankan kepentingan orang Melayu dan Islam apabila tidak bersuara terhadap dakwaan salah tadbir urus serta penyelewengan dalam pengurusan Lembaga Tabung Haji (TH) yang didedahkan menerusi Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI).
Beliau berkata, pendedahan RCI berlaku kelemahan tadbir urus dan unsur penyelewengan dalam pengurusan TH antara 2014 hingga 2020 amat mengecewakan kerana institusi itu merupakan milik umat Islam yang dibina hasil simpanan rakyat bagi menunaikan ibadah haji.
Menurutnya, TH selama ini menjadi kebanggaan orang Melayu dan Islam sebagai antara institusi kewangan Islam yang berjaya, namun reputasi tersebut tercalar akibat tindakan segelintir individu.
Faiz mendakwa, pihak yang sering membawa agenda “penyatuan umat” memilih untuk berdiam diri ketika isu berkenaan berlaku sewaktu pentadbiran terdahulu yang diterajui UMNO.
“Jelas sekali ‘penyatuan umat’ adalah untuk meraih kuasa dan bukannya membela Melayu serta mengangkat martabat Islam. Islam melarang penyelewengan, namun ia bukan perjuangan mereka,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau turut merujuk kepada dapatan RCI yang menurutnya mengiktiraf pelan pemulihan TH yang dilaksanakan oleh kerajaan Pakatan Harapan selepas mengambil alih pentadbiran.
Katanya, pelan pemulihan tersebut dilaksanakan ketika Lim Guan Eng daripada DAP memegang portfolio Menteri Kewangan, sekali gus menunjukkan usaha menyelamatkan TH tidak harus dilihat melalui lensa perkauman.
Sehubungan itu, beliau menyeru orang Melayu supaya menilai semula naratif “penyatuan umat” yang didakwanya hanya memainkan sentimen kaum, sedangkan isu penyelewengan melibatkan soal integriti yang tidak mengenal bangsa atau agama.
Mengulas dakwaan sesetengah pihak laporan RCI tidak mendedahkan perlakuan jenayah secara khusus, Faiz berkata, laporan itu tetap menyatakan berlakunya kerugian pelaburan melibatkan beberapa anak syarikat TH yang memerlukan siasatan lanjut oleh polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Menurutnya, RCI tidak mempunyai bidang kuasa untuk menentukan kesalahan jenayah atau mengenal pasti pelaku secara khusus kerana perkara itu terletak di bawah tanggungjawab agensi penguatkuasaan.
Justeru, beliau menggesa polis dan SPRM menjalankan siasatan secara menyeluruh dan segera terhadap dapatan laporan berkenaan bagi memulihkan keyakinan orang Melayu dan umat Islam terhadap Tabung Haji.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L