KUALA LUMPUR – Timbalan Presiden AMANAH, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof Rawa menyifatkan pendedahan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji (TH) kepada umum sebagai langkah yang akhirnya membolehkan rakyat menilai sendiri fakta berhubung krisis kewangan institusi itu serta usaha pemulihan yang dilaksanakan ketika beliau menjadi Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) antara 2018 hingga 2020.
Dalam satu kenyataan media, Dr. Mujahid berkata, penelitian awal terhadap laporan tersebut menunjukkan pelbagai dakwaan dan tohmahan yang dilemparkan terhadapnya sebelum ini, termasuk tuduhan konon beliau menggadaikan aset umat Islam kepada pihak bukan Islam, adalah tidak benar.
Beliau turut mendakwa, laporan RCI mengesahkan TH mengalami kerugian besar sebelum pentadbiran Pakatan Harapan (PH) mengambil alih, susulan pembayaran hibah yang didakwa tidak mematuhi peruntukan undang-undang.
Menurutnya, pelaksanaan Pelan Pemulihan dan Penstrukturan Semula TH yang diperkenalkan pada 2018 berjaya memulihkan kedudukan kewangan institusi itu sehingga kadar hibah yang pada awal pemulihan hanya 1.25 peratus meningkat kepada 3.5 peratus pada masa ini.
Dr. Mujahid berkata, laporan itu turut mengiktiraf pelan pemulihan berkenaan sebagai langkah terbaik bagi menyelamatkan TH daripada krisis kewangan yang melibatkan defisit kira-kira RM10 bilion.
“Isu kenaikan kos haji serta bantuan haji atau subsidi haji yang pernah menjadi sasaran kritikan terhadap saya kini diperakui dalam laporan RCI sebagai beban kepada kemampuan kewangan TH, sekali gus memerlukan pendekatan subsidi bersasar bagi memastikan institusi itu kekal mampan.
“Saya telah diserang kerana mengambil pendekatan tersebut, sedangkan itulah yang direkomendasikan oleh Laporan RCI Tabung Haji untuk menyelamatkan kedudukan kewangan TH yang kritikal,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dr. Mujahid turut merakamkan penghargaan kepada bekas Pengerusi TH, Tan Sri Mohd Nor Yusof, bekas Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Seri Zukri Samat serta seluruh pasukan pengurusan yang bersama-sama melaksanakan proses penstrukturan semula institusi berkenaan.
Beliau berkata, laporan RCI turut memperakui beliau mewarisi TH dalam keadaan defisit sekitar RM10 bilion dan memberi amaran kegagalan melaksanakan langkah pemulihan ketika itu akan menjejaskan kebajikan jemaah haji serta kelangsungan kewangan TH.
Dr. Mujahid turut menzahirkan rasa syukur kerana menurutnya segala fitnah yang dilemparkan terhadap beliau sepanjang tempoh pelaksanaan pelan pemulihan akhirnya dijawab melalui dapatan rasmi Laporan RCI Tabung Haji.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L