KUALA LUMPUR – Aktivis politik, Badrul Hisham Shaharin atau lebih dikenali sebagai Chegubard hari ini, dilepaskan dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen di sini, daripada pertuduhan menerbitkan bahan berunsur menghasut yang didakwa boleh menjejaskan nama baik Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.
Keputusan itu dibuat selepas Hakim Siti Aminah Ghazali mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Badrul Hisham, 48, pada akhir kes pendakwaan.
Dalam penghakimannya, hakim berkata, mahkamah mendapati tiada kes prima facie yang berjaya dibuktikan terhadap tertuduh, sekali gus memutuskan supaya beliau dilepaskan dan dibebaskan tanpa perlu dipanggil untuk membela diri.
“Mahkamah memutuskan tiada kes prima facie. Oleh itu, tertuduh dilepaskan dan dibebaskan daripada pertuduhan itu tanpa dipanggil membela diri,” katanya.
Badrul Hisham sebelum ini didakwa melakukan kesalahan menerbitkan suatu penerbitan yang mempunyai kecenderungan menghasut melalui akaun Facebook miliknya.
Pertuduhan itu didakwa dilakukan di Taman Bukit Cheras, Kuala Lumpur, pada jam 12.15 tengah hari, 6 April 2024.
Beliau didakwa mengikut Perenggan 4(1)(c) Akta Hasutan 1948 dan boleh dihukum di bawah subseksyen sama, yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara sehingga tiga tahun, atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan.
Sepanjang prosiding, pihak pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohd Sabri Othman, manakala Badrul Hisham diwakili barisan peguam Muhammad Rafique Rashid Ali dan Nurmustanir Md. Nor.
Keputusan mahkamah itu dibuat selepas pihak pendakwaan menutup kesnya dan mahkamah menilai sama ada terdapat asas yang mencukupi untuk mengarahkan tertuduh membela diri terhadap pertuduhan tersebut.
Dengan keputusan berkenaan, Badrul Hisham tidak perlu mengemukakan pembelaan dan dibebaskan sepenuhnya daripada pertuduhan yang dihadapinya.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L