Muhyiddin kesal tohmahan Annuar, tegaskan Bersatu tidak pernah tinggalkan PN secara sukarela

KUALA LUMPUR – Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin melahirkan rasa kesal terhadap kenyataan pemimpin PAS, Tan Sri Annuar Musa yang didakwanya melemparkan tohmahan parti itu bertindak mendahului keputusan Perikatan Nasional (PN) serta menjadi penghalang kepada usaha penyatuan politik orang Melayu.

Menurut Muhyiddin, dakwaan berkenaan tidak berasas kerana Bersatu tidak pernah mengambil keputusan untuk berpisah atau “mufarakah” daripada PN secara sukarela, malah parti itu merupakan pengasas kepada gabungan berkenaan.

Beliau menegaskan, Bersatu sehingga kini masih merupakan parti anggota PN yang sah dan tidak pernah membuat keputusan meninggalkan gabungan tersebut.

“Saya kesal dengan tohmahan Annuar terhadap Bersatu. Bersatu tidak mufarakah secara sukarela daripada Perikatan Nasional.

“Bersatu ialah parti yang mengasaskan Perikatan Nasional dan sehingga hari ini masih merupakan parti anggota PN yang sah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Muhyiddin bagaimanapun mendakwa kedudukan Bersatu sebagai parti pengasas dan anggota gabungan berkenaan tidak lagi dihormati apabila parti itu diketepikan daripada beberapa proses membuat keputusan penting.

Beliau mendakwa rundingan pembahagian kerusi pilihan raya yang sepatutnya melibatkan semua parti anggota tidak diteruskan bersama Bersatu, selain parti itu tidak dijemput menghadiri Mesyuarat Khas Majlis Tertinggi PN yang memuktamadkan agihan kerusi pilihan raya.

Menurutnya, keadaan itu menimbulkan persoalan bagaimana Bersatu boleh dituduh bertindak mendahului keputusan gabungan sedangkan parti tersebut tidak diberikan ruang untuk terlibat dalam mesyuarat berkenaan.

“Jadi, mengapa Bersatu dituduh bertindak mendahului keputusan mesyuarat jika mesyuarat pun tidak dijemput?” soalnya.

Mengulas isu rundingan politik antara PN dan Barisan Nasional (BN), Muhyiddin menjelaskan beliau tidak pernah mempertikaikan usaha berkenaan selepas dimaklumkan bahawa Pengerusi PN telah memberikan persetujuan supaya rundingan itu diadakan.

Namun, beliau berpandangan sebarang rundingan yang melibatkan dasar serta hala tuju gabungan seharusnya dibincangkan terlebih dahulu di peringkat Majlis Tertinggi PN sebelum sebarang keputusan dimuktamadkan.

Beliau mendakwa proses yang berlaku adalah sebaliknya apabila keputusan berkaitan kerjasama politik dibuat terlebih dahulu sebelum dibawa kepada Majlis Tertinggi untuk dimaklumkan.

“Setelah keputusan mengenai kerjasama dibuat, barulah dibawa ke Majlis Tertinggi. Ini cara yang songsang.

“Sepanjang saya memimpin Perikatan Nasional selama lima tahun, saya tidak pernah mengenepikan mana-mana parti anggota dalam proses membuat keputusan Perikatan Nasional, termasuk dalam hal-hal dasar parti dan pembahagian kerusi pilihan raya,” katanya.

Muhyiddin turut menolak dakwaan bahawa Bersatu menjadi penghalang kepada usaha penyatuan Melayu, sambil menegaskan perjuangan tersebut telah menjadi antara asas penubuhan Bersatu sejak awal lagi.

Beliau berkata, ketika menubuhkan PN, beliau pernah mengemukakan cadangan supaya gabungan itu berkembang sebagai sebuah wadah politik yang menghimpunkan parti-parti Melayu termasuk UMNO, di samping parti-parti pelbagai kaum lain, demi mewujudkan kestabilan politik negara.

Bagaimanapun, menurutnya, UMNO ketika itu memilih untuk tidak menyertai PN dan enggan menjadi sebahagian daripada kerajaan yang dipimpin gabungan berkenaan walaupun mendapat sokongan Ahli Parlimen parti tersebut.

Muhyiddin turut mempersoalkan pendekatan semasa yang diambil PAS dalam usaha menjalin kerjasama politik dengan UMNO ketika parti itu masih mempunyai hubungan dengan Pakatan Harapan (PH), termasuk DAP.

Beliau berpendapat perkembangan tersebut tidak boleh dianggap sebagai penyatuan Melayu yang sebenar, sebaliknya lebih menjurus kepada penjajaran semula kuasa politik.

“PAS memutuskan hubungan dengan Bersatu dan parti Melayu yang saya pimpin ini diketepikan oleh Perikatan Nasional.

“Ini bukanlah penyatuan Melayu yang sebenar. Ini hanyalah penjajaran semula kuasa politik,” katanya.

Dalam kenyataan sama, Muhyiddin tetap mendoakan kejayaan kepada PN walaupun mengakui hubungan politik antara Bersatu dan gabungan itu telah melalui perubahan yang besar.

Beliau menegaskan Bersatu akan meneruskan perjuangan politiknya secara berdikari tanpa lagi menoleh ke belakang.

“Bersatu tidak akan menoleh ke belakang lagi. Parti ini akan terus berdiri dan mara ke hadapan menjulang panji-panji perjuangannya demi Malaysia dan seluruh rakyatnya,” katanya.

Kenyataan Muhyiddin itu hadir sebagai respons terhadap kenyataan Annuar Musa yang mengkritik tindakan Bersatu dalam isu melibatkan hala tuju PN dan usaha penyatuan politik Melayu, sekali gus memperlihatkan perbezaan pandangan yang semakin ketara antara kedua-dua pemimpin berhubung masa depan gabungan tersebut.

Setakat ini, belum ada kenyataan balas daripada Annuar Musa berhubung penjelasan yang dikemukakan oleh Muhyiddin.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *