Oleh Fatin Sajidah Fathuldin
KUALA TERENGGANU – Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar menerima kunjungan hormat Duta Besar Persekutuan Rusia ke Malaysia, Tuan Yang Terutama Naiyl M. Latypov, bagi membincangkan potensi kerjasama strategik yang mampu memberi manfaat kepada pembangunan negeri.
Menerusi satu hantaran di X, Ahmad Samsuri berkata pertemuan itu mencerminkan minat serta keterbukaan rakan antarabangsa untuk meneroka peluang kerjasama dengan Terengganu dalam pelbagai sektor berimpak tinggi.
Menurut beliau, antara bidang yang dibincangkan ialah tenaga, sains dan teknologi, pendidikan tinggi, penyelidikan, perdagangan serta pembangunan industri bernilai tinggi yang selari dengan agenda pembangunan negeri.
“Pertemuan-pertemuan ini mencerminkan minat dan keterbukaan rakan antarabangsa untuk meneroka potensi kerjasama dengan Terengganu, seterusnya membuka ruang bagi memperkukuh hubungan yang dapat diterjemahkan kepada manfaat lebih besar buat negeri dan rakyat,” katanya.
Ahmad Samsuri turut menegaskan bahawa dalam dunia yang semakin saling berhubung, hubungan baik dengan rakan antarabangsa merupakan aset penting bagi memperluas jaringan kerjasama serta meningkatkan daya saing negeri dan negara.
Beliau berharap jalinan yang dibina bersama Rusia akan menjadi asas kepada kerjasama yang lebih bermakna dan menyumbang kepada pembangunan Terengganu secara mampan serta meningkatkan kesejahteraan rakyat.
Fatin Sajidah Fathuldin adalah pelajar Sarjana Muda Komunikasi Dengan Kepujian dari USIM yang sedang menjalani Latihan Industri di Nasional Daily
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L