PAC Mahu Menteri Wilayah Persekutuan Kembali Pengerusikan Jawatankuasa Tanah KL

Oleh Siti Khadijah Manudin

KUALA LUMPUR Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) mengesyorkan agar jawatan Pengerusi Jawatankuasa Kerja Tanah Wilayah Persekutuan dikembalikan kepada Menteri Wilayah Persekutuan bagi memperkukuh akauntabiliti dan ketelusan dalam pengurusan tanah di Kuala Lumpur.

Pengerusi PAC, Datuk Mas Ermieyati Samsudin, berkata siasatan mendapati Ahli Parlimen Kuala Lumpur tidak terlibat secara langsung dalam proses membuat keputusan berkaitan pembangunan dan pelupusan tanah, walaupun mereka mewakili penduduk yang terkesan.

Menurut PAC, keputusan Jawatankuasa Kerja Tanah ketika ini dibuat berdasarkan pandangan agensi teknikal tanpa penyertaan wakil rakyat, sekali gus menimbulkan kebimbangan terhadap mekanisme semak dan imbang. Isu ini turut dikaitkan dengan beberapa projek pembangunan yang mendapat bantahan penduduk tetapi diteruskan.

Sehubungan itu, PAC turut mencadangkan penubuhan jawatankuasa tetap yang melibatkan Ahli Parlimen Kuala Lumpur bagi memantau hal ehwal tanah, termasuk proses pelupusan dan pembangunan tanah, selain memastikan setiap keputusan dibuat secara lebih telus dan mengambil kira kepentingan awam.

PAC berpandangan bahawa langkah tersebut mampu meningkatkan keyakinan orang ramai terhadap sistem tadbir urus tanah di ibu negara serta mengelakkan kerugian kepada kerajaan akibat kelemahan dalam pengurusan dan penilaian tanah.

Siti Khadijah Manudin adalah pelajar Sarjana Muda Komunikasi Dengan Kepujian dari USIM yang sedang menjalani Latihan Industri di NasionalDaily

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *