Dakwa PH-DAP Sebar Islamofobia, Seru Melayu Islam Bersatu Pertahan Kedudukan Negara – Hadi Awang

Oleh Fatin Sajidah Fathuldin

KUALA LUMPUR –– Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang mendakwa Pakatan Harapan (PH) yang didominasi DAP sedang menyebarkan propaganda Islamofobia sebagai strategi politik bagi melemahkan pengaruh Islam dan kedudukan Melayu di negara ini.

Beliau mendakwa Islamofobia kini dijadikan senjata politik baharu yang diwarisi daripada penjajah bagi membentuk sentimen negatif terhadap Islam dan gerakan politik berteraskan Islam menerusi tulisan Minda Presiden PAS bertajuk Pakatan Harapan Menyebarkan Propaganda Islamofobia di Facebook miliknya.

Menurut Abdul Hadi, istilah “Gelombang Hijau” mula digunakan selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 merupakan antara naratif yang bertujuan membangkitkan ketakutan terhadap kebangkitan PAS dan politik Islam.

“Perkataan ‘Gelombang Hijau’ pertama kali diucapkan oleh pemimpin DAP berikutan kemaraan PAS yang telah mendapat kerusi terbanyak di Parlimen pada PRU-15 dan menguasai empat negeri,” katanya.

Beliau turut mendakwa DAP menggunakan isu Islamofobia bagi menentang Islam selepas gagal menggunakan pihak tertentu yang membawa imej Islam untuk mencapai matlamat politik mereka.

“Senjata Islamofobia digunakan oleh DAP setelah gagal menumpang senjata bertopengkan Islam yang menggunakan jenama Islam oleh beberapa kumpulan,” katanya.

Abdul Hadi turut mengkritik cadangan mengadakan semula Pilihan Raya Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), dengan mendakwa langkah itu boleh mengubah landskap politik negara dan menjejaskan kedudukan Melayu Islam.

Beliau juga mendakwa penyertaan DAP dalam Kerajaan Perpaduan memberi ruang kepada pelaksanaan agenda yang mencabar kedudukan Islam, institusi Raja-Raja Melayu dan hak Melayu sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Kemaraan DAP bertopengkan PH memimpin Kerajaan Perpaduan telah memberanikan beberapa tokoh mereka mencabar Perlembagaan Persekutuan, khususnya kedudukan Islam, institusi Raja-Raja Melayu, Bahasa Kebangsaan, membela murtad dan lain-lain,” tegasnya.

Dalam kenyataan sama, Abdul Hadi mengucapkan tahniah kepada rakyat Johor kerana, menurut beliau, berjaya memastikan negeri itu terus dipimpin oleh Melayu Islam serta mendakwa PAS telah menggerakkan jentera parti membantu kemenangan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Negeri Johor.

“PAS bersyukur kepada Allah kerana berjaya menyelamatkan Johor yang terus dipimpin Melayu Islam dan atas kegagalan DAP bersama sekutunya, PH dan UMDAP, daripada menawan Johor,” katanya.

Beliau menyeru semua pihak, termasuk ahli UMNO yang bekerjasama dengan DAP, supaya kembali memperkukuh perpaduan Melayu Islam demi mempertahankan kedudukan Islam, Perlembagaan Persekutuan dan kestabilan negara.

Fatin Sajidah Fathuldin adalah pelajar Sarjana Muda Komunikasi Dengan Kepujian dari USIM yang sedang menjalani Latihan Industri di Nasional Daily

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *