Enest rekod hasil RM42.11 juta pada suku pertama 2026

KUALA LUMPUR – Enest Group Bhd. (Enest), syarikat pemproses dan peniaga sarang burung, mencatatkan hasil sebanyak RM42.11 juta bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2026, sekali gus menjadi laporan kewangan pertama syarikat sejak disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia.

Enest turut merekodkan keuntungan selepas cukai (PAT) sebanyak RM2.15 juta, manakala keuntungan sebelum cukai (PBT) berjumlah RM2.66 juta dan keuntungan kasar (GP) sebanyak RM4.25 juta.

Margin keuntungan kasar, margin PBT dan margin PAT masing-masing ialah 10.1 peratus, 6.3 peratus dan 5.1 peratus.

Memandangkan ini adalah pengumuman kewangan interim pertama selepas penyenaraiannya, tiada angka perbandingan suku ke suku disediakan.

Segmen sarang burung kekal menjadi penyumbang utama kepada prestasi kumpulan dengan menjana hasil RM41.31 juta atau 98.1 peratus daripada keseluruhan pendapatan bagi tempoh berkenaan.

Daripada jumlah itu, pemprosesan dan penjualan sarang burung mentah yang boleh dimakan dan dibersihkan menyumbang RM27.42 juta atau 65.1 peratus daripada hasil keseluruhan, diikuti aktiviti perdagangan sarang burung sebanyak RM13.65 juta atau 32.4 peratus, manakala jualan produk sarang burung diproses menyumbang RM250,000.

Dari segi pasaran, China kekal sebagai penyumbang terbesar kepada hasil kumpulan dengan nilai RM27.42 juta atau 65.1 peratus daripada jumlah keseluruhan.

Pasaran domestik pula menyumbang RM14.65 juta atau 34.8 peratus, manakala Australia menyumbang RM40,000 atau 0.1 peratus.

Sehingga 31 Mac 2026, Enest mempunyai jumlah ekuiti sebanyak RM53.99 juta, manakala tunai dan setara tunai berjumlah RM28.24 juta, mencerminkan kedudukan kewangan yang kukuh bagi menyokong operasi serta rancangan pertumbuhan syarikat.

Pengarah Urusan Enest, Tan Teh Jie berkata, prestasi suku pertama itu mencerminkan permintaan yang kekal stabil terhadap produk sarang burung boleh dimakan serta kekuatan perniagaan teras kumpulan.

Melangkah ke hadapan, kami kekal memberi tumpuan untuk memperkukuh proses pengeluaran bagi meningkatkan lagi kecekapan dan keuntungan operasi,” katanya.

Beliau berkata, syarikat juga akan terus memperkukuh keupayaan bagi memenuhi permintaan pelanggan di semua pasaran utamanya.

Selain perniagaan sarang burung, Enest turut menjana hasil RM760,000 daripada segmen kesihatan dan penjagaan diri, manakala aktiviti penyewaan menyumbang RM40,000.

Perniagaan kesihatan dan penjagaan diri itu dipasarkan menerusi jenama Kang Li sebagai sebahagian daripada usaha mempelbagaikan sumber pendapatan kumpulan.

Ke hadapan, Enest menjangkakan prospek industri sarang burung boleh dimakan di Malaysia dan China terus positif, disokong peningkatan pendapatan boleh guna pengguna, kesedaran terhadap manfaat kesihatan serta pembangunan berterusan produk hiliran yang dijangka menyokong pertumbuhan syarikat.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *