Oleh Fatin Sajidah Fathuldin
JOHOR BAHARU– Pakatan Harapan (PH) berhasrat membentuk Johor sebagai sebuah negeri berteraskan ekonomi berimpak tinggi yang menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan berkualiti tanpa kebergantungan sepenuhnya kepada penempatan pekerjaan di Singapura.
Pengarah Jentera Pilihan Raya PH, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, Johor mempunyai kelebihan strategik berkembang sebagai hab ekonomi utama di Malaysia sekiranya potensi negeri dimanfaatkan sepenuhnya menerusi kerjasama erat antara kerajaan negeri dan Persekutuan.
Menurut beliau, keutamaan PH adalah memastikan lebih ramai rakyat Johor memperoleh pekerjaan berpendapatan tinggi di negeri sendiri tanpa perlu berulang-alik ke Singapura setiap hari.
“Rakyat tempatan tidak perlu beratus-ratus ribu menyeberang tambak setiap hari untuk mencari rezeki. Kita akan pastikan Johor cukup untuk orang Johor dan orang Malaysia bekerja dengan pendapatan yang tinggi,” katanya ketika siaran langsung pelancaran Manifesto PH sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, di sini, hari ini.
Beliau berkata, Johor bukan sekadar pintu masuk negara, malah berpotensi menjadi simbol kemajuan Malaysia di mata dunia sekiranya pembangunan dilaksanakan secara mampan dan menyeluruh.
Amirudin turut menjelaskan bahawa falsafah pembangunan PH tidak hanya tertumpu kepada pertumbuhan ekonomi semata-mata, sebaliknya memastikan hasil pembangunan diagihkan secara saksama kepada semua daerah tanpa mengira lokasi.
“Johor yang adil kepada semua, pembangunan ekonomi yang adil kepada semua. Bangunkan setiap lokaliti dan daerah,” kata beliau.
Beliau berkata, pelaksanaan projek-projek strategik seperti Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), Sistem Transit Rapid (RTS) Link dan pemulihan Forest City telah membuka lembaran baharu kepada ekonomi negeri.
Namun begitu, menurut beliau juga, kejayaan projek berkenaan hanya bermakna sekiranya manfaatnya dapat dirasai rakyat melalui peluang pekerjaan bernilai tinggi, peningkatan pendapatan dan pembangunan yang lebih seimbang di seluruh Johor.
“Menteri Besar kita (PH) nanti adalah Menteri Besar untuk semua DUN. Menteri Besar untuk semua daerah yang kita nak bangunkan. Johor Utara akan kita perkasakan. Johor Tengah akan kita hebatkan. Johor Selatan kita akan perkasakan,” katanya.
Beliau mengakui kewujudan jurang dalam pembangunan antara daerah apabila Johor Bahru menikmati purata pendapatan lebih tinggi berbanding kawasan lain seperti Mersing dan Benut.
Sehubungan itu, beliau mengatakan Pakatan Harapan (PH) komited memastikan pertumbuhan ekonomi tidak hanya tertumpu di selatan negeri, sebaliknya diperluaskan ke setiap daerah supaya seluruh rakyat Johor dapat menikmati kemakmuran secara lebih adil dan menyeluruh.
Fatin Sajidah Fathuldin adalah pelajar Sarjana Muda Komunikasi Dengan Kepujian dari USIM yang sedang menjalani Latihan Industri di Nasional Daily
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L