Oleh Fatin Sajidah Fathuldin
KUALA LUMPUR – Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang), Datuk Zaid Ibrahim menggesa UMNO dan PAS menyatakan secara terbuka usaha mendapatkan pengampunan diraja terhadap bekas Perdana Menteri, Najib Razak, menjadi antara agenda utama sekiranya kedua-dua parti membentuk kerajaan.
Zaid berkata, kenyataan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan yang menafikan kerjasama UMNO-PAS dalam PRN Johor berkaitan usaha mendapatkan pengampunan Najib adalah satu peluang yang terlepas untuk menjelaskan pendirian sebenar parti.
“Tok Mat berkata kerjasama pilihan raya di Johor tiada kaitan dengan pengampunan Najib. Itu peluang yang terlepas untuk berterus terang,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Beliau turut mendakwa hukuman penjara yang dikenakan terhadap Najib dalam kes SRC dan 1MDB menjadikan bekas Perdana Menteri itu seolah-olah menjalani hukuman penjara seumur hidup jika tiada pengampunan diberikan.
Menurutnya, sebagai umat Islam, nilai belas ihsan dan kemaafan perlu diutamakan, sambil menyatakan bahawa perjuangan mendapatkan pengampunan terhadap Najib tidak sepatutnya ditentukan oleh pendirian DAP.
“Kita mesti bekerjasama untuk mendapatkan pengampunan Najib. UMNO dan PAS perlu menyatakan dengan jelas bahawa Najib akan dibebaskan di bawah pemerintahan mereka,” katanya.
Zaid turut berpandangan perdebatan mengenai kelayakan Najib menerima pengampunan akan terus berlangsung, namun beliau percaya prinsip kemaafan dan ihsan wajar menjadi pertimbangan dalam isu berkenaan.
Fatin Sajidah Fathuldin adalah pelajar Sarjana Muda Komunikasi Dengan Kepujian dari USIM yang sedang menjalani Latihan Industri di Nasional Daily
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L