GUADALAJARA – Korea Selatan bangkit daripada ketinggalan untuk mencatat kemenangan 2-1 ke atas Republik Czech dalam aksi pembukaan Kumpulan A Piala Dunia, sebentar tadi.
Penyerang gantian, Oh Hyeon-gyu muncul wira pasukan apabila meledak gol kemenangan pada minit ke-80 untuk memastikan tiga mata berharga menjadi milik skuad Taeguk Warriors.
Korea Selatan sebenarnya menguasai sebahagian besar permainan, namun kapten mereka, Son Heung-min gagal memanfaatkan beberapa peluang terbaik yang terhidang.
Sebaliknya, Republik Czech terlebih dahulu memecah kebuntuan pada minit ke-59 menerusi tandukan kapten pasukan, Ladislav Krejci hasil lontaran jauh ke dalam kotak penalti.
Namun kelebihan itu hanya bertahan lapan minit apabila Hwang In-beom tenang menyempurnakan peluang dengan menyungkit bola melepasi penjaga gol lawan untuk mengikat kedudukan 1-1.
Republik Czech hampir kembali di hadapan pada minit ke-77 menerusi tandukan Tomas Soucek daripada sepakan percuma, namun jaringan itu dibatalkan selepas semakan mendapati berlaku kedudukan ofsaid.
Kegagalan itu akhirnya dihukum Korea Selatan apabila In-beom sekali lagi memainkan peranan penting dengan melakukan hantaran tarik ke belakang yang disudahkan Hyeon-gyu dari jarak dekat untuk gol kemenangan.
Kemenangan itu meletakkan Korea Selatan berkongsi tiga mata dengan tuan rumah bersama, Mexico yang sebelum ini menewaskan Afrika Selatan 2-0 dalam satu lagi aksi Kumpulan A.
Korea Selatan akan berdepan ujian lebih getir apabila menentang Mexico di Guadalajara minggu depan, manakala Republik Czech dijadual bertemu Afrika Selatan.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L