Oleh NurFarhana Zulkeply
TOKYO – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan pertemuan rasmi dengan Perdana Menteri Jepun, Sanae Takaichi, bagi membincangkan usaha memperkukuh Hubungan Perkongsian Strategik Komprehensif Malaysia-Jepun serta memperluaskan kerjasama dalam pelbagai bidang berkepentingan bersama.
Menerusi hantaran di Facebook, Anwar berkata beliau merakamkan penghargaan kepada Takaichi atas sambutan mesra dan layanan yang diberikan kepada delegasi Malaysia sepanjang lawatan rasmi beliau ke negara itu.
Menurut beliau, Jepun merupakan sahabat lama Malaysia yang telah memainkan peranan penting dalam menyokong pertumbuhan ekonomi, pembangunan dan perindustrian negara sejak era 1970-an.
“Dalam pertemuan ini, bicara kami menyentuh usaha memperkukuh Hubungan Perkongsian Strategik Komprehensif Malaysia-Jepun serta meneruskan momentum kerjasama yang semakin berkembang antara kedua-dua negara,” katanya.
Anwar berkata, perbincangan turut merangkumi pelbagai sektor strategik termasuk keselamatan dan kerjasama maritim, kecerdasan buatan (AI), semikonduktor, pembuatan termaju, mineral kritikal, transformasi hijau, ekonomi digital serta keterjaminan tenaga.
Selain kerjasama dua hala, kedua-dua pemimpin turut bertukar pandangan mengenai perkembangan serantau dan antarabangsa termasuk situasi di Myanmar serta Asia Barat, di samping membincangkan hala tuju hubungan Malaysia-Jepun pada masa hadapan.
Beliau berkata lawatan rasmi tersebut merupakan satu lagi langkah penting dalam memperkukuh hubungan istimewa antara Malaysia dan Jepun yang terjalin sejak hubungan diplomatik kedua-dua negara bermula pada tahun 1957.
“Malaysia dan Jepun terus berkembang sebagai sahabat rapat serta rakan strategik yang saling dipercayai,” katanya.
Menurut Anwar, dalam keadaan dunia yang semakin mencabar dan tidak menentu, hubungan erat antara kedua-dua negara menjadi semakin penting memandangkan Malaysia dan Jepun berkongsi kepentingan bersama dalam aspek keselamatan tenaga, daya tahan ekonomi, pembangunan teknologi dan kestabilan serantau.
Beliau yakin persahabatan serta kepercayaan yang sekian lama terjalin akan terus membuka ruang kerjasama baharu yang membawa manfaat dan kemakmuran kepada rakyat kedua-dua negara.
Lawatan rasmi Anwar ke Jepun dilihat sebagai sebahagian daripada usaha kerajaan memperkukuh hubungan diplomatik dan ekonomi dengan rakan strategik utama Malaysia di rantau Asia Timur, selain menarik lebih banyak pelaburan serta peluang kerjasama berimpak tinggi untuk negara.
NurFarhana Zulkeply adalah pelajar Sarjana Muda Komunikasi Dengan Kepujian dari USIM yang sedang menjalani Latihan Industri di NasionalDaily.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L