Oleh Siti Khadijah Manudin
KUALA LUMPUR – UMNO menegaskan akan terus menyokong Kerajaan Perpaduan sehingga Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang, namun pada masa sama mempertahankan hak parti untuk menentukan hala tuju dan strategi sendiri dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan.
Ketetapan itu diputuskan dalam Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang berlangsung baru-baru ini susulan perbincangan mengenai kedudukan parti dalam menghadapi PRN di kedua-dua negeri berkenaan.
Menurut UMNO, perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan tidak mengikat kerajaan negeri kerana kerajaan negeri Johor telah dibentuk lebih awal tanpa penglibatan parti-parti daripada Pakatan Harapan (PH).
Sehubungan itu, parti berkenaan berpandangan bahawa sebarang keputusan berkaitan kerjasama politik atau strategi pilihan raya di peringkat negeri perlu ditentukan berdasarkan kepentingan dan realiti politik setempat.
UMNO turut menolak dakwaan bahawa pendirian untuk mempertahankan mandat dan menentukan hala tuju sendiri dalam PRN merupakan satu bentuk pengkhianatan terhadap Kerajaan Perpaduan.
Sebaliknya, parti itu menegaskan komitmennya untuk terus memastikan kestabilan kerajaan di peringkat Persekutuan sehingga tamat penggal.
Isu kerjasama antara parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan menjadi tumpuan menjelang PRN Johor dan Negeri Sembilan, yang dilihat sebagai medan penting mengukur kekuatan gabungan parti kerajaan sebelum PRU akan datang.
Siti Khadijah Manudin adalah pelajar Sarjana Muda Komunikasi Dengan Kepujian dari USIM yang sedang menjalani Latihan Industri di NasionalDaily
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L