Oleh: Dr Nurul Naimah Rose

KEBELAKANGAN ini, isu berkaitan komuniti Rohingya kembali menjadi perhatian masyarakat Malaysia. Perbincangan mengenai kehadiran pelarian Rohingya sering mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan rakyat menjadi perbincangan hangat terutamanya di media sosial.
Ada yang menyuarakan kebimbangan tentang peluang pekerjaan, keselamatan dan penggunaan kemudahan awam. Malah tidak kurang juga yang menekankan aspek kemanusiaan dan tanggungjawab moral untuk membantu golongan yang teraniaya.
Dengan kepantasan teknologi penyebaran maklumat dalam kalangan masyarakat akhirnya menimbulkan pelbagai reaksi emosi. Oleh itu, adalah penting untuk melihat isu ini dari sudut pandangan yang lebih seimbang dan berasaskan fakta.
Sebagai sebuah negara yang terkenal dengan kepelbagaian budaya dan semangat kemanusiaan, Malaysia perlu memahami bahawa isu Rohingya bukan sekadar persoalan migrasi, tetapi juga berkait rapat dengan psikologi individu, kesejahteraan masyarakat dan keharmonian sosial.
Komuniti Rohingya merupakan kumpulan etnik minoriti yang berasal dari Myanmar dan telah lama melalui pelbagai bentuk diskriminasi, konflik serta penafian hak asasi.
Ramai dalam kalangan mereka meninggalkan negara asal akibat ketidakstabilan politik, keganasan dan ancaman terhadap keselamatan diri serta keluarga.
Akibatnya, mereka mencari perlindungan di negara-negara jiran termasuk Malaysia. Terkini, Malaysia menampung lebih 100,000 pelarian Rohingya yang berdaftar dengan UNHCR Malaysia, namun jumlah sebenar dipercayai jauh lebih tinggi akibat kemasukan berterusan dari Myanmar.
Dari sudut psikologi, pengalaman yang dilalui oleh pelarian lazimnya meninggalkan kesan yang mendalam terhadap kesihatan mental. Kajian menunjukkan bahawa individu yang terpaksa meninggalkan negara asal akibat peperangan atau penindasan berisiko tinggi akan mengalami trauma psikologi, kebimbangan melampau, kemurungan dan gangguan tekanan pascatrauma atau post-traumatic stress disorder (PTSD).
Mereka bukan sahaja kehilangan tempat tinggal, malah kehilangan jaringan sosial, pekerjaan, sumber pendapatan dan rasa selamat yang menjadi asas kepada kesejahteraan manusia.
Apabila seseorang hidup dalam keadaan tidak menentu untuk tempoh yang panjang, kesan psikologi yang dialami boleh mempengaruhi cara mereka berfikir, bertindak dan berinteraksi dengan masyarakat sekeliling.
Oleh itu, apabila masyarakat melihat sebahagian pelarian menghadapi kesukaran untuk menyesuaikan diri atau menunjukkan tingkah laku tertentu, kita perlu memahami bahawa faktor trauma dan tekanan hidup mungkin menjadi antara penyumbang kepada keadaan tersebut.
Namun begitu, pada masa yang sama kebimbangan masyarakat tempatan juga tidak boleh dipandang ringan. Dari perspektif psikologi sosial, manusia secara semula jadi cenderung melindungi sumber yang dianggap terhad seperti pekerjaan, bantuan kebajikan dan peluang ekonomi.
Apabila wujud persepsi bahawa kehadiran kumpulan luar boleh menjejaskan akses terhadap sumber tersebut, perasaan bimbang dan tidak selesa akan mudah timbul.
Fenomena ini dikenali sebagai realistic group conflict theory iaitu teori yang menjelaskan bahawa konflik antara kumpulan boleh berlaku apabila wujud persaingan terhadap sumber yang dianggap terhad.
Dalam konteks ini, sesetengah rakyat mungkin berasa bahawa kehadiran pelarian akan meningkatkan persaingan ekonomi atau menambah tekanan terhadap kemudahan awam.
Walaupun persepsi tersebut tidak semestinya menggambarkan realiti secara keseluruhan, ia tetap memberi kesan kepada pembentukan sikap dan tingkah laku masyarakat.
Selain itu, teknologi media sosial memainkan peranan yang sangat besar dalam membentuk persepsi awam. Maklumat yang tidak lengkap, berita sensasi dan komen berunsur provokasi boleh menyumbang kepada pembentukan stereotaip negatif terhadap sesuatu kumpulan.
Apabila sesuatu insiden yang melibatkan individu tertentu dikaitkan dengan keseluruhan komuniti, masyarakat mudah membuat generalisasi yang akhirnya mencetuskan prasangka dan diskriminasi.
Dalam psikologi, kecenderungan ini dikenali sebagai confirmation bias, iaitu kecenderungan manusia untuk mencari dan mempercayai maklumat yang menyokong kepercayaan sedia ada.
Jika seseorang sudah mempunyai persepsi negatif terhadap komuniti tertentu, mereka cenderung memberi perhatian kepada berita yang mengukuhkan pandangan tersebut dan mengabaikan maklumat yang bertentangan.
Akibatnya, jurang persefahaman antara kumpulan menjadi semakin besar. Kesan daripada prasangka dan kebencian yang berpanjangan bukan sahaja dirasai oleh komuniti pelarian, malah turut memberi kesan kepada kesejahteraan masyarakat secara keseluruhan.
Masyarakat yang sentiasa berada dalam keadaan curiga dan bermusuhan cenderung mengalami tahap tekanan sosial yang lebih tinggi. Persekitaran yang dipenuhi dengan sentimen negatif boleh mengurangkan rasa percaya antara anggota masyarakat dan melemahkan semangat perpaduan yang menjadi asas kepada kestabilan sosial.
Kesejahteraan sosial bukan sekadar merujuk kepada keadaan ekonomi yang baik, tetapi juga melibatkan hubungan sosial yang harmoni, rasa selamat, kepercayaan terhadap komuniti dan kemampuan hidup bersama secara aman. Apabila masyarakat terjebak dalam budaya kebencian, kesejahteraan kolektif akan terjejas walaupun pembangunan ekonomi terus berlaku.
Dalam menghadapi isu Rohingya, pendekatan yang lebih konstruktif perlu diberi perhatian. Pertama, masyarakat perlu menggunakan media sosial dengan lebih baik.
Sebelum menerima atau berkongsi sesuatu maklumat, individu perlu memastikan kesahihan sumber dan mengelakkan penyebaran berita yang belum disahkan.
Tindakan ini penting bagi mengurangkan penyebaran maklumat palsu yang boleh memburukkan lagi keadaan. Kedua, usaha meningkatkan kefahaman antara komuniti perlu diperkukuhkan.
Kajian psikologi menunjukkan bahawa interaksi positif antara kumpulan yang berbeza mampu mengurangkan prasangka dan meningkatkan empati. Apabila individu mempunyai peluang untuk mengenali orang daripada latar belakang yang berbeza, mereka lebih cenderung melihat satu sama lain sebagai manusia yang mempunyai cabaran dan harapan yang sama, bukannya sebagai ancaman.
Ketiga, dasar dan pengurusan yang jelas daripada pihak berkuasa Adalah amat penting bagi memastikan kebajikan pelarian dan kepentingan rakyat tempatan dapat diimbangi secara adil.
Ketelusan dalam pengurusan isu migrasi mampu mengurangkan spekulasi serta kebimbangan yang tidak berasas dalam kalangan masyarakat. Akhir sekali, kita perlu mengingatkan diri bahawa isu Rohingya adalah isu yang kompleks dan tidak boleh dinilai hanya melalui satu sudut pandang.
Ia melibatkan aspek kemanusiaan, keselamatan, ekonomi, undang-undang dan kesejahteraan sosial. Oleh itu, perbincangan yang matang dan berasaskan fakta perlu diutamakan berbanding reaksi emosi yang boleh memburukkan lagi keadaan.
Sebagai masyarakat yang hidup dalam dunia yang semakin saling berkait, kemampuan untuk memahami pengalaman dan penderitaan orang lain merupakan satu bentuk kematangan sosial yang penting.
Empati tidak bermaksud mengabaikan kebimbangan dan kebimbangan pula tidak seharusnya menjadi alasan untuk menyemarakkan kebencian. Jalan tengah yang berasaskan ilmu, pertimbangan rasional dan nilai kemanusiaan adalah pendekatan terbaik untuk memastikan kesejahteraan semua pihak dapat dipelihara.
Dalam konteks Malaysia yang berbilang kaum, agama dan budaya, kemampuan untuk mengurus perbezaan secara matang merupakan aset yang sangat berharga. Sejarah negara telah menunjukkan bahawa keamanan dan kestabilan sosial tidak berlaku secara kebetulan, sebaliknya dibina melalui sikap saling menghormati, toleransi dan kesediaan untuk memahami perspektif orang lain.
Oleh itu, isu Rohingya perlu dilihat sebagai peluang untuk menilai sejauh mana masyarakat mampu mengimbangi antara kepentingan nasional dan nilai kemanusiaan sejagat.
Kesejahteraan sesebuah negara bukan hanya diukur melalui kekuatan ekonomi atau pembangunan material, tetapi juga melalui kemampuan rakyatnya untuk mengekalkan empati, membina kepercayaan sosial dan mewujudkan persekitaran yang menghargai setiap insan.
Dengan pendekatan sedemikian, Malaysia bukan sahaja mampu menghadapi cabaran semasa dan dapat terus menjadi sebuah negara yang sentiasa mengutamakan kesejahteraan, keamanan dan keharmonian untuk generasi akan datang.
Hanya melalui pemahaman, toleransi dan rasa tanggungjawab bersama, kita mampu membina sebuah masyarakat yang bukan sahaja aman dan stabil, tetapi juga sejahtera dari sudut psikologi dan kemanusiaan.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L