Dari Meja Editorial
SEJAK beberapa tahun kebelakangan ini, apabila nama J-KOM (Jabatan Komunikasi Komuniti) disebut, ramai yang terus mengaitkannya dengan politik.
Ramai yang nampak J-KOM dari sudut politik semata-mata, sedangkan nama penuhnya sendiri ialah Jabatan Komunikasi Komuniti. Fokus utama J-KOM adalah komuniti dan rakyat.
Tugasnya menyampaikan maklumat yang betul mengenai dasar, program dan bantuan kerajaan kepada masyarakat, selain menjadi saluran untuk suara rakyat sampai kepada pihak kerajaan.
Jadi, peranan J-KOM bukanlah untuk bertekak atau berlawan dengan parti-parti politik lain. Kalau asyik sibuk berpolitik, siapa pula nak turun padang mendengar masalah komuniti, membantu menjelaskan isu semasa dan memastikan maklumat yang sampai kepada rakyat adalah tepat?
Dalam bahasa mudah, J-KOM sepatutnya menjadi jambatan antara kerajaan dan rakyat. Bila rakyat faham apa yang kerajaan buat, dan kerajaan pula mendengar apa yang rakyat perlukan, barulah fungsi komunikasi komuniti itu benar-benar tercapai. Yang penting ialah mendekati masyarakat, bukan mencari musuh politik.
Ada yang melihatnya sebagai agensi penerangan kerajaan, ada juga menganggapnya sebagai jentera propaganda, malah tidak kurang beranggapan ia sekadar platform untuk mempertahankan kerajaan dan menyerang pihak lawan.
Saya memahami mengapa persepsi seperti itu wujud. Namun, jika saya diberi peluang untuk menerajui J-KOM, perkara pertama hendak saya lakukan ialah mengubah persepsi itu. Bagi saya, J-KOM sepatutnya menjadi jambatan antara kerajaan dan rakyat, bukan medan pertempuran politik di media sosial.
Hakikatnya, rakyat hari ini semakin matang. Mereka tidak mahu lagi disuapkan dengan naratif politik semata-mata. Mereka mahu penjelasan. Mereka mahu fakta. Mereka mahu tahu bagaimana sesuatu dasar kerajaan memberi kesan kepada kehidupan mereka. Mereka mahu didengari.

Atas sebab itu, saya percaya sudah tiba masanya J-KOM membawa pendekatan lebih segar dan lebih dekat dengan rakyat.
Jika ditanya apakah falsafah utama yang hendak saya bawa, jawapannya mudah, iaitu kurang berpolitik, lebih kepada menerang, memberi penjelasan.
Tugas J-KOM bukan untuk mencari kesalahan pihak lawan setiap hari. Tugas J-KOM juga bukan untuk mengupah tentera siber yang menghabiskan masa menyerang individu atau parti tertentu di media sosial.
Sebaliknya, tugas utama J-KOM ialah membantu rakyat memahami apa yang sedang dilakukan oleh kerajaan.
Kadangkala kerajaan melaksanakan dasar yang baik, tetapi gagal menjelaskannya dengan bahasa yang mudah difahami, akibatnya rakyat keliru dan akhirnya menolak sesuatu yang sebenarnya boleh memberi manfaat kepada mereka.
Di sinilah peranan J-KOM sepatutnya dimainkan. Bukan sebagai “penjual politik”, tetapi sebagai “penterjemah dasar kerajaan” kepada bahasa yang mudah difahami oleh rakyat biasa.
Kalau kerajaan memperkenalkan subsidi bersasar, J-KOM perlu menjelaskan siapa yang layak menerima manfaat dan bagaimana prosesnya.
Kalau kerajaan melaksanakan projek pembangunan, J-KOM perlu menerangkan apa impaknya kepada masyarakat setempat.
Kalau ada isu yang menimbulkan kebimbangan rakyat, J-KOM perlu tampil memberikan penjelasan yang jujur dan mudah difahami.
Rakyat tidak perlukan propaganda, sebaliknya rakyat perlukan penerangan. Di sinilah peranan J-KOM, iaitu perlu lebih banyak mendengar dan kemudian turun memberi penerangan.
Satu lagi perkara yang saya rasa sangat penting ialah budaya mendengar. Selama ini, banyak agensi kerajaan terlalu fokus untuk bercakap. Mereka menghasilkan kenyataan, poster, video dan pelbagai bentuk kempen komunikasi.
Tetapi persoalannya, adakah mereka benar-benar mendengar apa yang rakyat cuba sampaikan?
Saya percaya komunikasi yang baik bukan sekadar bercakap kepada rakyat. Komunikasi yang baik juga bermaksud mendengar rakyat.
Sebab itu saya mahu melihat J-KOM menjadi mata dan telinga kerajaan di peringkat akar umbi.
Pegawai-pegawai J-KOM perlu turun ke lapangan, berbincang dengan masyarakat, mendengar keluhan mereka dan memahami masalah yang mereka hadapi.
Apabila rakyat mengadu mengenai kos sara hidup, peluang pekerjaan atau masalah kemudahan awam, maklumat itu tidak boleh sekadar dicatat dalam laporan dan disimpan di atas rak.
Ia perlu dibawa kepada kementerian dan agensi berkaitan supaya tindakan boleh diambil. Pada akhirnya, rakyat mahu melihat hasil, bukan sekadar mendengar janji.
Kita juga tidak boleh menafikan media sosial hari ini dipenuhi dengan pelbagai maklumat yang tidak sahih. Berita palsu, fitnah dan maklumat yang mengelirukan boleh tersebar dalam masa beberapa minit sahaja.
Namun, saya percaya cara terbaik untuk melawan maklumat palsu bukanlah dengan menghina atau menyerang orang lain.
Cara terbaik ialah dengan fakta. Apabila ada maklumat yang salah, kita jawab dengan data. Apabila ada kekeliruan, kita beri penjelasan. Apabila ada fitnah, kita tampilkan kebenaran.
Mudahkan. Tidak perlu maki hamun. Tidak perlu serangan peribadi. Tidak perlu mencipta musuh.
Kalau fakta berada di pihak kita, biarkan fakta yang bercakap. Dalam jangka panjang, pendekatan seperti ini jauh lebih berkesan untuk membina kepercayaan rakyat.
Pada pandangan saya, terlalu banyak ruang media hari ini dipenuhi dengan pergaduhan politik.
Siapa serang siapa. Siapa kalah siapa menang. Siapa buat kenyataan kontroversi. Sedangkan majoriti rakyat sebenarnya lebih mengambil berat mengenai perkara lain.
Mereka mahu tahu bagaimana hendak menghadapi kenaikan kos sara hidup. Mereka mahu tahu peluang pekerjaan yang ada. Mereka mahu pendidikan yang lebih baik untuk anak-anak. Mereka mahu kemudahan kesihatan yang berkualiti. Mereka mahu kehidupan yang lebih baik.
Justeru, komunikasi kerajaan perlu lebih banyak menyentuh perkara yang dekat dengan kehidupan rakyat.
Setiap kali kerajaan memperkenalkan sesuatu dasar, persoalan utama yang perlu dijawab ialah apakah manfaatnya kepada rakyat.
Jika persoalan itu dapat dijawab dengan baik, rakyat akan lebih mudah memahami dan menerima sesuatu dasar.
Saya juga percaya, kita perlu keluar daripada budaya politik kebencian yang semakin membarah di media sosial.
Tidak semua orang akan bersetuju dengan kerajaan. Tidak semua orang akan menyokong dasar yang diperkenalkan, dan itu perkara biasa dalam sebuah negara demokrasi.
Kita tidak perlu melihat setiap pengkritik sebagai musuh, sebaliknya kita perlu belajar menerima perbezaan pandangan dengan lebih matang.
Saya mahu J-KOM menjadi contoh kepada budaya komunikasi yang sihat. Berbeza pandangan tidak semestinya bermusuhan. Mengkritik tidak semestinya membenci, dan mempertahankan sesuatu dasar tidak semestinya perlu menghina pihak lain.
Kita boleh berbahas secara matang. Kita boleh berhujah dengan fakta. Kita boleh tidak bersetuju tanpa perlu bermusuhan.
Pada akhirnya, cabaran terbesar yang dihadapi oleh mana-mana institusi komunikasi kerajaan hari ini bukanlah kekurangan teknologi atau platform media sosial.
Cabaran paling besar ialah soal kepercayaan. Jika rakyat tidak percaya kepada kita, sebanyak mana pun kandungan yang dihasilkan, ia tidak akan memberi kesan.
Tetapi, jika rakyat percaya kita bercakap benar, telus dan ikhlas untuk membantu mereka memahami sesuatu isu, mereka akan sentiasa membuka ruang untuk mendengar.
Sebab itu, jika saya diberi amanah untuk menerajui J-KOM, matlamat utama saya bukanlah untuk menjadikan J-KOM sebagai pasukan yang paling lantang mempertahankan kerajaan.
Sebaliknya, saya mahu menjadikan J-KOM sebagai institusi yang paling dipercayai rakyat. Kerana dalam dunia hari ini, kepercayaan adalah aset yang paling bernilai.
Dan, kepercayaan tidak boleh dibeli, tidak boleh dipaksa serta tidak boleh dibina melalui propaganda.
Ia hanya boleh dibina melalui kejujuran, ketelusan dan kesungguhan untuk berkhidmat kepada rakyat. Itulah J-KOM yang saya impikan.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L