DUNGUN – Dungun kini tidak lagi sekadar menjadi lokasi penganjuran acara larian santai, sebaliknya berkembang sebagai platform mendekatkan komuniti luar bandar dengan akses kesihatan dan perkhidmatan awam yang lebih menyeluruh.
Memasuki edisi ke-4 penganjurannya, Dungun Sarong Fun Run terus mengekalkan matlamat asal untuk membuka ruang kepada masyarakat luar bandar merasai pengalaman ‘fun run’ seperti di bandar-bandar besar.
Namun kali ini, penganjur menambah nilai dengan menyediakan pemeriksaan kesihatan percuma serta pelbagai perkhidmatan lain yang memberi manfaat langsung kepada peserta dan penduduk setempat.

Inisiatif berteraskan tanggungjawab sosial ini dilihat membantu merapatkan jurang kesihatan luar bandar yang sering menjadi isu, khususnya dari segi akses maklumat dan kemampuan mendapatkan pemeriksaan kesihatan secara berkala.
Pengarah pertandingan, Amran Abdullah berkata, idea penambahbaikan itu tercetus hasil pemerhatian terhadap penyertaan golongan warga emas dalam edisi terdahulu, yang kebanyakannya tidak pernah mengetahui status kesihatan masing-masing sebelum menyertai aktiviti sukan.
“Jika dahulu acara ini sekadar memberi peluang kepada masyarakat luar bandar merasai pengalaman larian tanpa perlu ke bandar besar, bagi edisi kali ini kami bekerjasama dengan sebuah klinik untuk menyediakan pemeriksaan kesihatan percuma serta penyampaian maklumat secara terus kepada pengunjung,” katanya.
Menurut beliau lagi, langkah tersebut juga diambil susulan beberapa insiden kesihatan yang berlaku dalam penganjuran sukan kebelakangan ini, sekali gus membantu peserta mengenal pasti tahap kesihatan masing-masing lebih awal dan mengurangkan risiko yang tidak diingini.
Selain perkhidmatan kesihatan, kehadiran beberapa agensi seperti Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Dungun, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) serta pelbagai entiti lain turut memberi peluang kepada penduduk mendapatkan akses kepada perkhidmatan yang sebelum ini terhad akibat faktor jarak.
Acara ini turut dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti sampingan berkonsep kekeluargaan termasuk pertandingan mewarna, pertandingan pakaian cilik berhias serta cabutan bertuah yang menjadi antara tarikan utama.

Rata-rata peserta dan pengunjung memberikan maklum balas positif, menyifatkan penganjuran ini melangkaui sekadar acara larian biasa.
Seorang peserta, Zamri Ghani yang hadir dari Bukit Besi sejauh hampir 80 kilometer berkata, faktor jarak dan kekangan masa sering menjadi halangan untuk mendapatkan pemeriksaan kesihatan.
“Saya berharap program seperti ini diteruskan pada masa akan datang, bukan sahaja untuk saya tetapi juga untuk masyarakat lain yang hadir bersama keluarga,” katanya.
Dungun Sarong Fun Run edisi ke-4 yang berlangsung Sabtu lalu mencatat penyertaan dari pelbagai peringkat usia seramai 1,200 peserta yang mengambil bahagian bagi larian sejauh 5 kilometer bermula di Taman Tasik Sura, Dungun.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L