KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini, hari ini akan menentukan nasib Datin Seri Rosmah Mansor dalam saman yang difailkan sebuah syarikat barang kemas mewah dari Lubnan berhubung kehilangan 44 barang kemas bernilai AS$14.57 juta (kira-kira RM68.3 juta).
Keputusan itu dijadual disampaikan oleh Hakim Datuk Quay Chew Soon selepas prosiding perbicaraan yang berlangsung selama beberapa hari selesai pada April lalu.
Selain menentukan sama ada Rosmah bertanggungjawab terhadap kehilangan barang kemas berkenaan, mahkamah turut akan memutuskan isu liabiliti melibatkan Ketua Polis Negara dan Kerajaan Malaysia yang dinamakan sebagai pihak ketiga dalam tindakan sivil tersebut.
Dalam prosiding pada 15 April lalu, mahkamah menetapkan tarikh keputusan selepas saksi terakhir pihak ketiga, Chong Tong Leong selesai memberi keterangan.
Saman itu difailkan oleh Global Royalty Trading SAL Ltd, sebuah syarikat barang kemas berpangkalan di Beirut, Lubnan yang mendakwa 44 barangan kemas mewah termasuk kalung berlian, anting-anting, cincin, gelang serta sebuah tiara telah dihantar kepada Rosmah secara konsainan untuk tujuan tontonan, namun gagal dipulangkan semula.
Menurut syarikat berkenaan, barang kemas terbabit diserahkan kepada Rosmah melalui ejen mereka, namun sehingga kini sebahagian besar koleksi itu masih tidak dapat dikesan.
Rosmah dalam pembelaannya menafikan bertanggungjawab terhadap kehilangan barang kemas berkenaan. Beliau mendakwa koleksi tersebut hilang selepas beberapa siri serbuan polis dijalankan di Pavilion Residences, Kuala Lumpur, sejurus selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) pada Mei 2018.
Serbuan itu dilakukan dalam rangka siasatan berkaitan skandal kewangan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Sepanjang perbicaraan, mahkamah mendengar keterangan beberapa saksi penting termasuk Pengarah Urusan Global Royalty Trading, Samer Hassib Halimeh, selain Rosmah sendiri serta pegawai-pegawai polis yang terlibat dalam operasi serbuan dan penyitaan.
Antara saksi utama yang memberi keterangan ialah bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh dan Asisten Komisioner Foo Wei Min dari Bahagian Siasatan Pengubahan Wang Haram Bukit Aman.
Mahkamah diberitahu pada 17 Mei 2018, polis terlebih dahulu menggeledah beberapa unit kediaman yang dikaitkan dengan anak-anak bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, namun tidak menemui sebarang barang berkaitan siasatan.
Pasukan penyiasat kemudian menyerbu sebuah unit kediaman yang tidak berpenghuni dan sedang menjalani kerja pengubahsuaian. Unit tersebut didaftarkan atas nama ahli perniagaan Tan Sri Bustari Yusuf.
Dalam operasi itu, polis menemui dan menyita 71 beg, sebuah kotak plastik serta 284 kotak mengandungi beg tangan dan pelbagai barangan mewah.
Menurut keterangan saksi polis, rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan sejumlah beg dan kotak telah dipindahkan ke unit berkenaan antara 11 Mei hingga awal pagi 12 Mei 2018.
Bagaimanapun, hasil pemeriksaan terhadap barangan yang disimpan oleh pihak berkuasa mendapati hanya satu daripada 44 barang kemas yang dituntut Global Royalty berjaya dikenal pasti.
Barang kemas tersebut ialah gelang berlian zamrud yang kemudiannya dipulangkan kepada syarikat berkenaan.
Mahkamah turut dimaklumkan baki 43 barang kemas lain tidak ditemui dalam simpanan polis atau mana-mana agensi penguat kuasa yang terlibat dalam operasi penyitaan.
Global Royalty memfailkan saman pada 26 Jun 2018 bagi menuntut supaya Rosmah memulangkan semula kesemua barang kemas yang dihantar kepada beliau atau membayar ganti rugi berdasarkan nilai semasa koleksi berkenaan.
Dalam hujahan terdahulu, syarikat itu mendakwa Rosmah gagal membuktikan keseluruhan barang kemas tersebut benar-benar dirampas oleh pihak berkuasa Malaysia.
Malah, syarikat berkenaan mendakwa hanya satu barang kemas berada dalam jagaan polis, manakala baki selebihnya tidak pernah direkodkan sebagai barang yang dirampas.
Atas alasan itu, Global Royalty mendakwa Rosmah tidak boleh melepaskan tanggungjawab dengan meletakkan kesalahan ke atas Kerajaan Malaysia atau pihak polis.
Sebaliknya, syarikat itu berhujah Rosmah masih bertanggungjawab terhadap kehilangan koleksi barang kemas tersebut kerana ia diserahkan secara langsung kepada beliau untuk tujuan tontonan sebelum urusan pembelian dimuktamadkan.
Keputusan Mahkamah Tinggi hari ini dijangka menjadi penentu kepada salah satu pertikaian sivil paling bernilai yang pernah dikaitkan dengan Rosmah, selain memberi jawapan berhubung persoalan siapakah yang perlu menanggung liabiliti terhadap kehilangan koleksi barang kemas mewah berkenaan.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L