Polis Minta Henti Spekulasi, Siasatan Menyeluruh Nahas Enam Sekeluarga Maut Diteruskan

ALOR SETAR – Polis menggesa orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih berhubung kemalangan tragis yang mengorbankan enam sekeluarga di Jalan Pinang Tunggal, dekat Sungai Petani, petang semalam.

Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah berkata, pelbagai dakwaan dan andaian tersebar di media sosial sejak kejadian berlaku bukan sahaja boleh mengelirukan masyarakat, malah berpotensi menjejaskan proses siasatan yang sedang dijalankan pihak berkuasa.

Menurut beliau, polis kini sedang menjalankan siasatan secara menyeluruh bagi mengenal pasti punca sebenar kemalangan yang berlaku pada jam 3.50 petang melibatkan sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) serta sebuah lori membawa muatan tanah.

“Saya minta orang ramai memberi ruang kepada polis menjalankan siasatan secara profesional dan menyeluruh. Jangan membuat sebarang kesimpulan awal sehingga siasatan selesai,” katanya ketika ditemui pemberita di Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), malam tadi.

Dalam kejadian menyayat hati itu, enam ahli keluarga yang menaiki SUV berkenaan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian dan ketika menerima rawatan, manakala seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun mengalami kecederaan parah pada bahagian muka.

Siasatan awal mendapati SUV yang dinaiki tujuh sekeluarga itu dalam perjalanan dari Kepala Batas, Pulau Pinang ke Merbok untuk menziarahi kubur ahli keluarga mereka. Kenderaan tersebut dipandu seorang anggota polis.

Pada masa sama, lori yang dipandu seorang lelaki tempatan berusia 49 tahun dalam perjalanan ke arah Tikam Batu.

Menurut Adzli, insiden yang tular di media sosial itu telah mencetuskan pelbagai spekulasi tidak berasas termasuk dakwaan pemandu lori berada di bawah pengaruh alkohol ketika kejadian berlaku.

“Malah, ada individu menghantar pesanan secara peribadi kepada saya melalui aplikasi WhatsApp dan mendakwa pemandu lori mabuk serta mengaitkan isu perkauman dalam kemalangan ini.

“Untuk pengetahuan semua, mangsa terlibat adalah Melayu dan pemandu lori itu juga Melayu. Penyebaran maklumat seperti itu adalah tidak bertanggungjawab dan boleh menimbulkan salah faham dalam kalangan masyarakat,” katanya.

Beliau turut menjelaskan, siasatan awal mendapati lori itu dipandu pada kelajuan kira-kira 60 kilometer sejam ketika kejadian berlaku.

Bagaimanapun, polis tidak menolak kemungkinan untuk meneliti semua aspek yang boleh menjadi faktor penyumbang kepada nahas berkenaan termasuk keadaan teknikal kedua-dua kenderaan yang terlibat.

“Pelbagai andaian turut dibuat termasuk dakwaan SUV terbabit mungkin mengalami masalah teknikal kerana masih baharu. Semua perkara itu akan disiasat.

“Kenderaan SUV berkenaan akan dihantar ke Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) bagi menjalani pemeriksaan lanjut untuk menentukan sama ada terdapat sebarang kerosakan atau faktor mekanikal yang boleh dikaitkan dengan kejadian,” katanya.

Dalam perkembangan sama, hasil saringan air kencing yang dijalankan ke atas pemandu lori terbabit didapati negatif daripada sebarang pengaruh dadah atau bahan terlarang.

Namun, semakan polis mendapati lelaki itu mempunyai tujuh rekod saman trafik sebelum ini.

Walaupun memiliki lesen memandu yang sah dan tidak didapati memandu melebihi had kelajuan yang ditetapkan, pemandu lori berkenaan tetap ditahan bagi membantu siasatan.

“Suspek akan direman untuk membantu siasatan lanjut. Setiap sudut kejadian akan diteliti sebelum sebarang keputusan dibuat,” katanya.

Kes kini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu atau berbahaya sehingga menyebabkan kematian.

Dalam tragedi itu, enam mangsa yang terkorban dikenal pasti sebagai Ahmad Syafiq Ahmad Shukri, 29; Ahmad Fahim Ahmad Shukri, 21; Jamaliah Sannusi, 29; Nora Mohd Husin, 55; Iskandar Affan Ibrahim, 7; serta bayi lelaki berusia dua bulan, Ahmad Mikail Ahmad Syafiq.

Seorang lagi mangsa yang terselamat, Aulia Sofea Ahmad Syafiq, 3, kini sedang menerima rawatan akibat kecederaan parah.

Kejadian tersebut mengundang rasa pilu dalam kalangan masyarakat apabila sebuah keluarga yang dalam perjalanan menziarahi pusara ahli keluarga bertukar menjadi mangsa nahas yang meragut enam nyawa dalam sekelip mata.

Polis menegaskan orang ramai diminta menghentikan penyebaran maklumat tidak sahih dan menunggu hasil siasatan rasmi yang akan diumumkan selepas semua proses forensik, teknikal serta keterangan saksi selesai diperoleh.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *