SPRM kesan penyelewengan lebih RM9 juta libat program Daya Kerjaya 2.0

KUALA TERENGGANU – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesan wujudnya penyelewengan melibatkan inisiatif kerajaan iaitu program Daya Kerjaya 2.0 yang dilaksanakan sebelum ini, dengan nilai tuntutan palsu berjumlah RM9.01 juta.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Abd Halim Aman berkata melalui siasatan pihaknya mengenal pasti sebanyak 143 syarikat melibatkan 320 pekerja di seluruh negara terbabit dalam penyelewengan dana kerajaan yang dikendalikan oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) bermula 2024 itu. 

“Melalui program Daya Kerjaya 2.0 ini pihak kerajaan memberikan insentif kepada majikan dalam bentuk bayaran gaji sebanyak RM1,500 setiap bulan kepada pekerja (golongan seperti orang kurang upaya, bekas banduan dan warga emas) yang dilantik, selama enam bulan.

“Namun berdasarkan risikan awal yang dijalankan pihak kami, didapati beberapa isu telah dikesan daripada segi pelaksanaan dan sebagainya. Antaranya kita dapati ada individu yang diisytiharkan sebagai pekerja tetapi sebenarnya dia tidak wujud,” katanya kepada Bernama sempena lawatannya ke Pejabat SPRM Terengganu, di sini, hari ini.

Abd Halim berkata pihaknya juga mengesan terdapat pekerja yang tidak memenuhi syarat tempoh minimum enam bulan pekerjaan namun mendapat bayaran penuh dan wujudnya aktiviti penggunaan dokumen palsu bagi mendapatkan bayaran insentif tersebut. 

Selain itu, katanya, pihaknya juga mengesan sebanyak 1,638 lagi syarikat yang melakukan aktiviti sama membabitkan nilai kira-kira RM45 juta, namun ia masih di peringkat awal siasatan. 

Katanya, SPRM telah menerima kerjasama baik daripada ibu pejabat Perkeso sepanjang siasatan dijalankan dan akan terus mendapatkan bantuan daripada agensi tersebut di peringkat negeri bagi melancarkan lagi operasi termasuk proses pengumpulan maklumat dan bahan bukti.

Abd Halim berkata pihaknya memandang serius terhadap unsur penyelewengan atau kelemahan dalam pengurusan dana kerajaan yang diinisiatifkan untuk membantu rakyat. 

Sehubungan itu, katanya, SPRM melalui Bahagian Penyiasatan Tatakelola akan mempergiatkan usaha membantu jabatan atau agensi kerajaan serta syarikat untuk menambah baik tadbir urus atau memperketatkan prosedur bagi mengelakkan berlaku ketirisan atau penyelewengan terhadap dana kerajaan. 

“Jika terdapat kelemahan dalam sistem atau prosedur, kita akan membantu mengenal pasti dan mencadangkan penambahbaikan bagi memastikan pelaksanaan sesuatu inisiatif dapat disampaikan kepada rakyat dengan lebih berkesan dan tepat.

“Kes berkaitan Daya Kerjaya 2.0 ini merupakan antara contoh penyelewengan yang dikesan melibatkan insentif kerajaan yang diwujudkan dengan niat baik untuk membantu rakyat dan merangsang peluang pekerjaan, namun disalahgunakan segelintir pihak yang tidak bertanggungjawab,” katanya. 

Dalam perkembangan lain, Abd Halim berkata SPRM berhasrat menubuhkan Kadet Anti-Rasuah di peringkat sekolah menengah bagi memupuk kesedaran dan menanam budaya intergriti serta bencikan rasuah dalam kalangan generasi muda. 

Sebagai permulaan, katanya, pihaknya bercadang untuk memulakan projek tersebut di satu atau dua buah sekolah sekitar Putrajaya atau Kuala Lumpur dengan pembabitan antara 30 hingga 40 pelajar.

“Semestinya kita akan berbincang dengan pihak Kementerian Pendidikan Malaysia terlebih dahulu mengenai hasrat kami ini.

“Kemudian kita akan melihat sama ada kementerian bersetuju atau tidak, selain meneliti kekangan yang wujud serta perbelanjaan yang perlu dikeluarkan seperti untuk membeli pakaian seragam dan sebagainya,” katanya. – BERNAMA

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *