PGA rampas vape bernilai RM396,000, tahan lelaki disyaki seludup ke Thailand

KOTA BHARU – Pasukan Gerakan Am (PGA) menumpaskan kegiatan penyeludupan rokok elektronik dan cecair vape ke Thailand selepas menyerbu sebuah rumah di Kampung Kok Pauh, Pengkalan Kubor, Tumpat, semalam.

Dalam Op Taring Wawasan Kelantan pada jam 1.30 tengah hari itu, sepasukan anggota Strike Force Batalion 8 PGA menahan seorang remaja lelaki berumur 18 tahun dipercayai terlibat dalam kegiatan berkenaan.

Komander Briged Tenggara PGA SAC Ahmad Radzi Hussain berkata, pemeriksaan di premis itu menemukan 2,760 unit rokok elektronik jenama Salt Hub pelbagai perisa dan 1,200 unit kartrij cecair vape daripada jenama sama.

Beliau berkata, suspek warga tempatan itu dipercayai berperanan sebagai penjaga stor dan terlibat dalam urusan membawa produk vape itu ke Thailand melalui pangkalan haram di sekitar Kampung Serkong, Pengkalan Kubor.

“Siasatan awal mendapati produk berkenaan dipercayai diperoleh dari Wangsa Maju, Kuala Lumpur sebelum dihantar ke Kelantan menggunakan perkhidmatan kurier.

“Hasil risikan dan pemantauan berterusan, PGA berjaya mengesan aktiviti penyimpanan produk rokok elektronik yang dipercayai untuk tujuan penyeludupan ke negara jiran,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

Ahmad Radzi berkata, semua barang rampasan dianggarkan bernilai RM396,000 dan suspek telah diserahkan kepada Pejabat Kesihatan Daerah Tumpat untuk tindakan lanjut mengikut Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024.

Beliau turut menggesa orang ramai supaya menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa bagi membantu membanteras kegiatan penyeludupan di kawasan sempadan negara. – BERNAMA

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *