Aminuddin Umum DUN Negeri Sembilan Bubar, Laluan PRN Dibuka

SEREMBAN – Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan dibubarkan secara rasmi berkuat kuasa hari ini, selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, sekali gus membuka laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Pengumuman itu dibuat oleh Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun dalam sidang media khas di kediaman rasmi beliau malam tadi.

Menurut Aminuddin, perkenan pembubaran DUN diterima pada jam 8.30 malam dan notis rasmi akan dikemukakan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi membolehkan badan itu menetapkan tarikh penamaan calon serta hari pengundian.

Beliau berkata, pembubaran DUN merupakan langkah untuk mengembalikan mandat kepada rakyat bagi menentukan hala tuju pentadbiran negeri menerusi proses demokrasi.

“Pembubaran ini memberi ruang kepada rakyat untuk membuat pilihan dan menentukan kerajaan negeri yang akan mentadbir bagi penggal seterusnya.

“Terdapat perubahan dalam landskap politik negeri apabila beberapa pihak yang sebelum ini menyokong kerajaan negeri telah menarik balik sokongan mereka,” katanya.

Aminuddin turut memaklumkan, keputusan pembubaran DUN telah dimaklumkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan mendapat persetujuan beliau.

Mengulas persiapan menghadapi PRN, beliau berkata, rundingan pembahagian kerusi dalam kalangan parti komponen Pakatan Harapan (PH) telah selesai dan mencapai kata sepakat.

Menurutnya, PH akan bertanding di semua 36 kerusi DUN Negeri Sembilan dengan pengagihan kerusi antara PKR, DAP dan Amanah dijangka dimuktamadkan serta diumumkan dalam masa terdekat.

Pada Pilihan Raya Negeri 2023, PH muncul sebagai gabungan terbesar dengan memenangi 17 kerusi DUN, diikuti Barisan Nasional (BN) sebanyak 14 kerusi dan Perikatan Nasional (PN) lima kerusi.

Pembubaran DUN kali ini menyaksikan Negeri Sembilan menjadi tumpuan politik negara apabila rakyat negeri itu bakal sekali lagi menentukan komposisi kerajaan negeri melalui pilihan raya, meskipun penggal pentadbiran semasa sepatutnya berakhir pada September 2028.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *