Oleh NurFarhana Zulkeply
SHAH ALAM – Pelaksanaan pengesahan umur bagi pengguna media sosial bawah 16 tahun bermula 1 Jun 2026 disifatkan bukan sekadar langkah kawalan, tetapi usaha penting untuk membina ruang digital yang lebih selamat kepada kanak-kanak.
Seorang penganalisis media sosial di platform Facebook berkata, langkah di bawah Kod Perlindungan Kanak-kanak (CPC) itu wajar diberi perhatian serius kerana kanak-kanak hari ini terdedah kepada pelbagai bentuk risiko dalam talian sejak usia muda.
Menurutnya, media sosial bukan lagi sekadar tempat berhibur, sebaliknya sudah menjadi ruang yang boleh mempengaruhi pemikiran, emosi dan tingkah laku kanak-kanak.
“Apabila kanak-kanak terlalu awal diberi akses kepada media sosial tanpa tapisan yang sesuai, mereka lebih mudah terdedah kepada kandungan berbahaya, buli siber, penipuan dan tekanan sosial,” katanya.
Beliau berkata, pengesahan umur boleh membantu mengehadkan akses pengguna bawah umur daripada membuka akaun baharu di platform berlesen, sekali gus memberi ruang kepada ibu bapa untuk lebih memantau penggunaan digital anak-anak.
Katanya, keberkesanan pelaksanaan itu bergantung kepada komitmen semua pihak, termasuk penyedia platform, ibu bapa dan pihak berkuasa.
“Peraturan ini hanya akan berkesan jika ia dilaksanakan dengan tegas. Platform juga perlu memastikan sistem pengesahan umur tidak mudah dipintas oleh kanak-kanak,” katanya.
Mulai 1 Jun lalu, pengguna media sosial berusia bawah 16 tahun tidak lagi dibenarkan mendaftar akaun baharu di platform berlesen susulan pelaksanaan pengesahan umur di bawah CPC.
NurFarhana Zulkeply adalah pelajar Sarjana Muda Komunikasi Dengan Kepujian dari USIM yang sedang menjalani Latihan Industri di NasionalDaily.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L