Oleh: Dr. Halmey Hamdah

APABILA membicarakan pembangunan sempadan negara, perhatian sering tertumpu kepada Johor Bahru di selatan atau Kota Kinabalu di Sabah. Namun, di utara Semenanjung Malaysia, terdapat sebuah kawasan yang memiliki kedudukan strategik luar biasa, tetapi belum menerima pembangunan yang setimpal dengan potensinya.
Kawasan tersebut ialah Padang Besar, pintu darat utama yang menghubungkan Malaysia dan Thailand. Ia bukan sekadar sebuah pekan sempadan biasa, tetapi merupakan pintu masuk antarabangsa yang menghubungkan dua negara, dua ekonomi dan jutaan penduduk di rantau ASEAN.
Setiap hari, ribuan pelancong, peniaga dan kenderaan keluar masuk melalui pintu sempadan ini. Malah, Padang Besar juga menjadi lokasi penting dalam rangkaian logistik serantau yang menghubungkan Malaysia dengan Thailand, Indochina dan seterusnya China.
Persoalannya, sampai bilakah Padang Besar akan terus dilihat sebagai sebuah pekan kecil, sedangkan potensinya jauh lebih besar daripada itu?
Sudah tiba masanya Padang Besar diangkat sebagai sebuah Bandar Sempadan Antarabangsa yang mempunyai identiti, fungsi dan pentadbiran tersendiri. Status bandar bukan sekadar soal nama atau gelaran, tetapi melambangkan keupayaan sesebuah kawasan untuk menjadi pusat pertumbuhan ekonomi, perdagangan, pelaburan dan pembangunan moden.
Kedudukan Padang Besar yang strategik membolehkan ia berkembang sebagai hab perdagangan rentas sempadan paling penting di utara Malaysia. Dengan kewujudan Pelabuhan Darat Perlis Inland Port (PIP) dan rangkaian rel antarabangsa yang menghubungkan Malaysia-Thailand, kawasan ini berpotensi menjadi pusat logistik utama bagi rantau ASEAN.
Jika dirancang dengan baik, Padang Besar mampu memainkan peranan yang sama seperti bandar-bandar sempadan terkenal dunia yang berkembang pesat hasil aktiviti perdagangan antarabangsa. Keadaan ini akan membuka peluang pekerjaan baharu, menarik pelaburan asing dan merangsang pertumbuhan sektor perkhidmatan, perhotelan, peruncitan serta industri sokongan.
Namun pembangunan sebesar ini memerlukan satu sistem tadbir urus yang lebih fokus dan khusus. Oleh itu, cadangan mewujudkan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Padang Besar perlu diberi perhatian serius.
Ketika ini, pembangunan Padang Besar masih diuruskan dalam kerangka pentadbiran yang lebih luas. Sedangkan cabaran dan keperluan sebuah bandar sempadan antarabangsa amat berbeza daripada kawasan lain.
Isu infrastruktur, trafik rentas sempadan, kebersihan bandar, pembangunan komersial, pelancongan dan pelaburan memerlukan perhatian khusus daripada sebuah badan pentadbiran yang benar-benar memahami keunikan kawasan tersebut.
Penubuhan PBT sendiri akan membolehkan perancangan pembangunan dilaksanakan secara lebih tersusun, agresif dan berfokus. Hasil cukai, lesen perniagaan dan pelbagai sumber pendapatan tempatan dapat digunakan semula untuk membangunkan Padang Besar tanpa perlu bersaing dengan keperluan kawasan lain.
Lebih penting, Padang Besar berpotensi menjadi simbol kemajuan baharu negeri Perlis. Bandar ini boleh dibangunkan sebagai bandar pintar sempadan yang dilengkapi teknologi digital, sistem logistik moden, pusat perdagangan antarabangsa, hab pelancongan membeli-belah, pusat pameran perdagangan ASEAN serta kawasan pembangunan industri bernilai tinggi.
Kita perlu melihat Padang Besar bukan sekadar sebagai tempat membeli-belah atau pintu masuk ke Thailand, tetapi sebagai sebuah bandar masa depan yang mampu menjadi enjin ekonomi baharu Perlis dan Malaysia Utara.
Negara-negara maju sentiasa menjadikan kawasan sempadan mereka sebagai pusat pertumbuhan ekonomi. Malaysia tidak boleh terus membiarkan potensi besar Padang Besar berkembang secara perlahan sedangkan dunia bergerak pantas membina bandar-bandar perda gangan yang kompetitif.
Sudah tiba masanya kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Perlis merangka pelan pembangunan jangka panjang yang lebih berani untuk Padang Besar. Penubuhan PBT sendiri, pembangunan infrastruktur moden, pengukuhan Pelabuhan Darat Perlis Inland Port dan pengembangan kawasan komersial perlu dijadikan agenda utama.
Padang Besar bukan lagi sebuah pekan sempadan. Padang Besar adalah wajah Malaysia di utara negara dan wajah itu sewajarnya dibangunkan sebagai sebuah bandar sempadan antarabangsa yang moden, berdaya saing dan mahsyur di rantau ini.
Dr. Nor Halmey Hamdah adalah Felo Penyelidik Institut Kajian Politik Malaysia (MAPAN), Universiti Utara Malaysia (UUM)
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L