KLUANG – Seorang lelaki tempatan berusia 19 tahun ditahan polis bagi membantu siasatan berhubung kemalangan ngeri membabitkan lima kenderaan yang meragut lima nyawa di Kilometer 27, Jalan Renggam–Simpang Renggam, di sini, tengah hari semalam.
Dalam kejadian jam 1.15 tengah hari itu, suspek dipercayai memandu sebuah Mercedes-Benz A250 secara laju dan melulu bersama sebuah BMW 530e yang dipandu abangnya berusia 22 tahun sebelum berlaku kemalangan yang mengorbankan lima individu.
Ketua Polis Daerah Kluang, ACP Bahrin Mohd Noh berkata, siasatan awal mendapati BMW 530e berkenaan hilang kawalan ketika melalui lokasi kejadian sebelum terbabas ke laluan bertentangan dan merempuh empat kenderaan lain iaitu Perodua Alza, Toyota Vios, Proton Wira serta sebuah lagi Mercedes-Benz.
Akibat perlanggaran itu, pemandu BMW 530e maut ketika dalam perjalanan ke hospital selepas kenderaannya terjunam ke dalam gaung. Turut terkorban ialah pemandu Toyota Vios, seorang lelaki berusia 36 tahun, isterinya berusia 33 tahun, seorang wanita berusia 73 tahun dan seorang kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun.
Menurut Bahrin, semua mangsa yang berada dalam Toyota Vios disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah pada kepala dan badan.
Dalam kejadian sama, dua kanak-kanak yang menaiki Perodua Alza, masing-masing berusia 11 dan tujuh tahun, mengalami kecederaan di kepala dan kini dirawat di Zon Merah, Wad Kecemasan Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom (HEBHK), Kluang.
Pemandu Perodua Alza berusia 43 tahun pula cedera pada kaki, manakala pemandu Proton Wira berusia 22 tahun mengalami kecederaan pada bahagian mulut.
Sementara itu, seorang wanita berusia 57 tahun yang memandu Mercedes-Benz hanya mengalami kecederaan ringan, manakala dua penumpangnya tidak mengalami sebarang kecederaan.
Polis memaklumkan semua mangsa yang cedera menerima rawatan di HEBHK. Hasil ujian saringan air kencing terhadap suspek berusia 19 tahun itu didapati negatif dadah.
Dalam perkembangan siasatan, polis turut merampas Mercedes-Benz A250 yang dipandu suspek. Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menyebabkan kematian akibat pemanduan melulu atau berbahaya, serta Seksyen 42(1) akta sama berkaitan pemanduan secara melulu dan membahayakan pengguna jalan raya lain.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L