Permata Perakaunan UUM Kembali ke Pangkuan Keluarga, Terus Berjuang Pulih Selepas Kemalangan

PENDANG – Selepas lebih empat bulan bertarung dengan kecederaan serius akibat kemalangan jalan raya, pelajar cemerlang Universiti Utara Malaysia (UUM), Nur Aleeya Khairani Ahmad Shukri akhirnya dibenarkan pulang ke rumah untuk meneruskan proses pemulihan bersama keluarga tercinta.

Kepulangan pelajar jurusan Perakaunan itu membawa sinar kegembiraan kepada keluarganya di Kampung Kubang Pisang di sini, selepas melalui detik-detik sukar sejak terlibat dalam kemalangan motosikal pada 31 Januari lalu yang mengakibatkan kecederaan parah pada saraf tunjang.

Perkembangan positif Aleeya turut mendapat perhatian pengurusan tertinggi UUM apabila Naib Canselor, Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed, meluangkan masa menziarahinya di kediaman keluarga bagi melihat sendiri keadaan dan perkembangan kesihatan pelajar tersebut.

Turut hadir, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Madya Dr. Bakti Hasan Basri.

Menurut Ahmad Martadha, keadaan Aleeya menunjukkan perkembangan memberangsangkan walaupun perjalanan pemulihannya masih panjang.

“Alhamdulillah, Aleeya kini menunjukkan perkembangan positif dan sudah boleh menggerakkan tangannya. Perkembangan ini memberi harapan besar kepada keluarga dan seluruh warga universiti yang sentiasa mendoakan kesembuhannya,” katanya.

Aleeya, yang pernah memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 4.0 ketika di Kolej Matrikulasi Kedah, sebelum ini dilaporkan cedera parah selepas motosikal yang ditunggangnya terlibat dalam kemalangan di Changlun ketika dalam perjalanan pulang ke kampus.

Akibat kecederaan tersebut, beliau terpaksa menerima rawatan rapi di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar, selain menjalani beberapa prosedur perubatan termasuk pembedahan trakeostomi bagi membantu pernafasannya.

Di sebalik ujian kesihatan yang dihadapi, keluarga Aleeya turut berdepan cabaran kewangan apabila kos rawatan awal mencecah puluhan ribu ringgit, manakala bapanya hanya bekerja sendiri dengan pendapatan yang terhad.

Namun, keprihatinan pelbagai pihak sedikit sebanyak meringankan beban keluarga berkenaan.

Sebelum ini, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir bersama pihak UUM telah menyampaikan sumbangan awal RM10,000 melalui Tabung Bantuan Kebajikan Pelajar dan hasil kutipan warga kampus.

Pihak universiti turut memberi jaminan akan terus memantau kebajikan Aleeya serta membantu memastikan kelangsungan akademiknya tidak terjejas sepanjang tempoh pemulihan.

Kisah ketabahan Aleeya yang berjuang melawan kesakitan sambil terus menyimpan harapan untuk kembali menyambung pengajian telah menyentuh hati ramai rakyat Malaysia.

Kini, setiap pergerakan kecil yang mampu dilakukan menjadi simbol kekuatan dan harapan baharu buat dirinya serta keluarga yang tidak pernah putus berdoa agar beliau kembali sembuh sepenuhnya.

Perjalanan pemulihan Aleeya mungkin masih jauh, namun semangatnya untuk bangkit semula terus menjadi inspirasi kepada ramai pihak. – Sumber Universiti Utara Malaysia (Official FB)

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *