SAR Pendaki Hilang di Gunung Batu Putih Berdepan Ancaman Harimau Kumbang

IPOH – Operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang pendaki wanita yang hilang di Gunung Batu Putih, Tapah, kini berdepan cabaran lebih getir apabila pasukan penyelamat mengesan kehadiran hidupan liar berbahaya termasuk dipercayai harimau kumbang di kawasan pencarian.

Penemuan najis haiwan liar di beberapa lokasi operasi mengesahkan kawasan hutan berkenaan merupakan habitat semula jadi spesies pemangsa, sekali gus meningkatkan risiko terhadap anggota penyelamat yang bertugas menjejaki mangsa, Jaslinda Saludin, 49.

Bagaimanapun, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, operasi tetap diteruskan dengan pematuhan ketat terhadap prosedur keselamatan.

“Pasukan SAR sentiasa mengutamakan keselamatan anggota dan mengelakkan kawasan yang dikenal pasti berisiko. Pada masa sama, kami sedar kami yang memasuki habitat hidupan liar tersebut, jadi setiap pergerakan perlu dilakukan dengan penuh berhati-hati,” katanya.

Dalam usaha memperluaskan pencarian, pasukan SAR turut menggunakan teknologi pengawasan hidupan liar dengan bantuan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).

Menurut Sabarodzi, dua kamera perangkap yang dipasang di Bukit Batu Putih berjaya merakam imej Jaslinda, sekali gus menjadi petunjuk penting dalam menentukan laluan yang mungkin dilaluinya.

Bagaimanapun, sebuah lagi kamera di Bukit Berapit yang diperiksa hari ini tidak menunjukkan sebarang rakaman baharu berkaitan mangsa.

“Pasukan dijadualkan memeriksa satu lagi kamera di Gunung Rayu yang terletak kira-kira satu kilometer di luar laluan utama pendakian di kawasan Ulu Jelai, Lipis, Pahang.

“Pemeriksaan itu penting bagi mengenal pasti kemungkinan mangsa tersasar daripada laluan asal dan membantu menentukan fokus pencarian seterusnya,” katanya.

Beliau berkata, kawasan Sungai Ayer Busok dan sekitar Kem Sukaneka yang sebelum ini belum pernah diterokai juga telah diperiksa sepenuhnya, namun masih gagal menemukan sebarang petunjuk baharu.

Setakat ini, semua lokasi yang telah ditanda dan diperiksa memberikan keputusan negatif, namun operasi SAR akan diteruskan ke beberapa kawasan lain yang dikenal pasti berpotensi.

Jaslinda dilaporkan hilang ketika menyertai ekspedisi pendakian Trans Spencer Chapman bersama 13 peserta lain dan dua Malim Gunung Perhutanan (MGP) pada 23 Mei lalu.

Menurut rekod, beliau dan seorang lagi pendaki mengalami masalah kesihatan sebelum berhenti berehat. Namun, Jaslinda dipercayai meneruskan perjalanan ke puncak dan kali terakhir dilihat oleh MGP pada 24 Mei sekitar jam 7.30 pagi.

Sehingga kini, usaha menjejaki keberadaan mangsa masih diteruskan dengan penglibatan pelbagai agensi penyelamat dalam keadaan muka bumi yang mencabar serta ancaman hidupan liar yang menambah kesukaran operasi.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *