KUALA LUMPUR: AIZO Group Bhd berjaya memperoleh kelulusan pemegang saham pada Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) bagi melaksanakan beberapa cadangan korporat yang membolehkan syarikat mengumpul hasil kasar sehingga RM123.58 juta.
Syarikat dalam satu kenyataan berkata, langkah pengukuhan modal itu dijangka meningkatkan fleksibiliti kewangan syarikat bagi menyokong fasa pertumbuhan perniagaan seterusnya.
Daripada jumlah keseluruhan itu, cadangan terbitan hak dijangka menjana hasil kasar sehingga RM99.21 juta berdasarkan harga terbitan indikatif RM0.031 sesaham, manakala cadangan terbitan persendirian pula berpotensi meraih kira-kira RM24.37 juta pada harga indikatif RM0.033 sesaham.
“Dana yang diperoleh menerusi terbitan persendirian akan digunakan terutamanya sebagai suntikan modal bagi Projek Solar Skala Besar 5 (LSS5) dengan peruntukan sebanyak RM21.58 juta.
“Baki RM2.27 juta pula diperuntukkan bagi keperluan modal kerja operasi sedia ada dan perbelanjaan berkaitan pelaksanaan cadangan korporat itu,” katanya.
Sementara itu, hasil kutipan daripada terbitan hak akan digunakan secara strategik bagi membiayai pelbagai projek pembinaan semasa dan akan datang, selain menyokong modal kerja, pelaburan perniagaan baharu serta inisiatif pendigitalan dan transformasi proses syarikat.
Melalui EGM berkenaan, syarikat turut memperoleh mandat untuk melaksanakan terbitan hak boleh lepas sehingga 3.20 bilion saham hak berdasarkan nisbah satu saham hak bagi setiap satu saham sedia ada.
Cadangan itu turut disertakan dengan sehingga 1.60 bilion waran boleh tanggal percuma pada nisbah satu waran bagi setiap dua saham hak yang dilanggan.
Selain itu, pemegang saham turut meluluskan penerbitan sehingga 738.56 juta saham biasa baharu menerusi penempatan persendirian, mewakili sehingga 30 peratus daripada jumlah keseluruhan saham terbitan syarikat, tidak termasuk saham perbendaharaan.
Sebagai tanda keyakinan terhadap hala tuju syarikat, penempatan persendirian itu turut membabitkan pengurusan tertinggi syarikat.
Sehingga 100 juta saham diperuntukkan kepada Pengerusi Eksekutif, Dato Abang Abdillah Izzarim Tan Sri Abang Abdul Rahman Zohari, manakala Pengarah Eksekutif, Ahmad Rahizal Datuk Ahmad Rasidi dan Pengarah Eksekutif Kewangan dan Teknologi, Emma Yazmeen Yip Mohd Jeffrey Yip masing-masing diperuntukkan sehingga 15 juta saham penempatan.
Dalam mesyuarat sama, pemegang saham turut bersetuju dengan cadangan pengurangan modal saham terbitan sebanyak RM75 juta selaras dengan Seksyen 117 Akta Syarikat 2016.
Langkah penstrukturan semula kunci kira-kira itu dilaksanakan bagi menghapuskan kerugian terkumpul syarikat.
Penghapusan kerugian terkumpul berkenaan dilihat sebagai langkah penting bagi meningkatkan keupayaan AIZO mengisytiharkan dividen kepada pelabur pada masa depan apabila keadaan mengizinkan.
Pada masa sama, kedudukan kewangan keseluruhan kumpulan dan kepentingan pemegang saham dijangka menjadi lebih kukuh.
Mengulas kejayaan EGM itu, Pengarah Eksekutif AIZO, Ahmad Rahizal berkata, “Cadangan ini bukan sekadar latihan kunci kira-kira. Ia merupakan pemboleh penting bagi AIZO untuk membiayai keutamaan strategik, termasuk Projek LSS5, projek pembinaan semasa dan masa hadapan, dan inisiatif pertumbuhan terpilih.”
Beliau berkata, platform modal yang lebih kukuh akan meletakkan syarikat pada kedudukan lebih baik untuk melaksanakan perancangan dengan fleksibiliti kewangan yang lebih besar.
Lembaga Pengarah syarikat menyifatkan kelulusan korporat itu sebagai satu fasa penting dalam transformasi berterusan syarikat untuk membina perniagaan yang lebih berdaya tahan.
Transformasi itu meliputi pelbagai segmen utama syarikat termasuk pembinaan, produk bitumen, tenaga boleh diperbaharui dan bidang pertumbuhan strategik lain.
Syarikat kejuruteraan awam dan produk bitumen itu kini turut berkembang sebagai pelabur fotovoltaik solar berdaftar dengan Lembaga Pembangunan Tenaga Lestari Malaysia.
Dengan pemilikan loji kuasa solar terapung AC 9.99MW serta kejayaan memperoleh projek LSS5, AIZO kekal fokus terhadap pelaksanaan projek secara berdisiplin dan pengurusan modal yang berhemat bagi mencipta nilai jangka panjang kepada pemegang saham.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L