KUALA LUMPUR – Solar District Cooling Group Bhd (SDCG) mencatat pertumbuhan hasil sebanyak 51.2 peratus kepada RM7.22 juta bagi suku pertama tahun kewangan 2026 (S1 TK2026), didorong sumbangan kukuh daripada projek Aliran Penyejuk Berubah-ubah (VRF).
SDCG berkata prestasi berkenaan meningkat berbanding RM4.77 juta yang direkodkan pada tempoh sama tahun kewangan sebelumnya.
Menurut syarikat itu, pertumbuhan hasil disumbangkan terutamanya oleh segmen penyelenggaraan sistem dan peralatan lain yang melonjak kepada RM4.17 juta berbanding RM0.07 juta sebelum ini.
“Peningkatan ini terutamanya disebabkan oleh permulaan dan pengiktirafan hasil progresif projek VRF,” katanya.
Bagaimanapun, SDCG memaklumkan sumbangan hasil daripada segmen Sistem Pengurusan Bangunan (BMS) menurun kepada RM2.97 juta berbanding RM3.74 juta pada S1 TK2025.
Katanya, penurunan berkenaan berpunca daripada pengiktirafan hasil yang lebih rendah daripada projek sedia ada yang hampir siap, termasuk projek Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air.
Segmen sistem terma solar dan perkhidmatan penjimatan tenaga turut mencatat hasil lebih rendah sebanyak RM0.09 juta susulan penyiapan kontrak prestasi tenaga pada Mac 2025.
Dari segi keuntungan, SDCG merekodkan kerugian sebelum cukai sebanyak RM0.48 juta bagi S1 TK2026 berbanding keuntungan sebelum cukai RM0.86 juta pada tempoh sama tahun lalu.
Syarikat itu berkata prestasi keuntungan lebih lemah dipengaruhi margin keuntungan kasar yang lebih rendah, peningkatan kos kakitangan susulan pengembangan tenaga kerja serta yuran profesional berkaitan cadangan terbitan bonus waran dan skim opsyen saham pekerja.
Pengarah Urusan SDCG, Edison Kong, berkata prestasi suku pertama berkenaan mencerminkan fasa peralihan dalam kitaran projek syarikat.
“S1 TK2026 mencerminkan sifat peralihan kitaran projek kami, di mana pertumbuhan pendapatan disokong oleh projek VRF manakala margin terjejas oleh campuran projek dan faktor kos.
“Kami kekal fokus pada pelaksanaan yang berdisiplin, mengukuhkan keupayaan operasi kami dan membina platform lebih luas merentasi BMS, kecekapan tenaga dan penyelesaian tenaga boleh diperbaharui,” katanya.
Beliau berkata, penyiapan beberapa pemasangan fotovoltaik solar serta permulaan bekalan elektrik kepada pelanggan sepanjang suku berkenaan menjadi langkah penting dalam strategi pendapatan berulang syarikat melalui model Perjanjian Pembelian Kuasa (PPA).
Menurutnya, model PPA membolehkan SDCG menjana pendapatan berulang sepanjang tempoh kontrak sehingga 21 tahun menerusi pelaburan dan pemasangan sistem fotovoltaik solar di premis pelanggan.
Dalam pada itu, SDCG berkata kumpulan berkenaan terus memperkukuh keupayaan operasi termasuk peluasan ibu pejabat di Kajang, Selangor serta integrasi teknologi Internet of Things (IoT) dan ciri berasaskan awan dalam sistemnya.
Katanya, inisiatif berkenaan bertujuan membantu pelanggan memantau penggunaan tenaga dan jejak karbon secara lebih berkesan melalui analitik penjimatan tenaga masa nyata.
SDCG turut memaklumkan kerjasama strategiknya dengan Solarvest Holdings dijangka memperluas akses kepada peluang tenaga hijau selain menggabungkan kepakaran BMS syarikat dengan penyelesaian tenaga boleh diperbaharui.
Setakat 31 Mac 2026, kumpulan berkenaan memiliki tunai dan setara tunai sebanyak RM35.61 juta serta pinjaman rendah RM0.13 juta bagi menyokong pelaksanaan projek dan inisiatif pertumbuhan masa depan.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L