LOS ANGELES – Dua jet pejuang bertembung di udara ketika acara demonstrasi di Idaho, barat laut Amerika Syarikat (AS), namun juruterbangnya berjaya menyelamatkan diri dengan terjun menggunakan payung terjun, lapor media AS.
Kenyataan yang dimuat naik di laman sesawang, pertunjukan udara Gunfighter Skies mengesahkan bahawa “satu insiden pesawat telah berlaku di Pangkalan Tentera Udara Mountain Home”, kira-kira dua batu di barat laut pangkalan itu.
“Pasukan penyelamat kecemasan berada di lokasi, siasatan sedang dijalankan dan maklumat lanjut akan dikeluarkan apabila tersedia,” menurut kenyataan itu.
Stesen gabungan tempatan CBS News, KOMO, melaporkan semua empat kru berjaya keluar dengan selamat daripada dua jet pejuang EA-18 milik Tentera Laut AS.
Video yang tular di media sosial menunjukkan kedua-dua jet itu bertembung dan berpusing di udara sebelum terhempas ke tanah, menyebabkan letupan dan kepulan asap hitam besar, sementara empat payung terjun kelihatan melayang turun.
Semua empat kru berjaya keluar daripada dua jet pejuang EA-18 milik Tentera Laut AS.
Akhbar Idaho Statesman melaporkan pertunjukan udara itu – yang menampilkan aksi aerobatik dan penerbangan lintas untuk tontonan umum – merupakan acara pertama seumpamanya sejak 2018, apabila seorang juruterbang peluncur gantung maut dalam kemalangan.
Komander Amelia Umayam, jurucakap Naval Air Forces US Pacific Fleet, memberitahu KOMO bahawa jet EA-18G Growler itu berpangkalan di Whidbey Island, Washington.
NBC News pula melaporkan insiden itu menyebabkan pertunjukan udara dibatalkan dan pangkalan tersebut diletakkan dalam keadaan kawalan keselamatan (lockdown) ketika pasukan kecemasan menangani situasi dan memulakan siasatan.
Usaha untuk menghubungi pihak pangkalan bagi mendapatkan komen lanjut tidak berjaya. – AFP
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L