Oleh: Dr. Nur Nabilah Abu Bakar dan Dr Sharifah Najwa Syed Mohamad

AMALAN gaya hidup yang tidak sihat di kalangan kebanyakan masyarakat Malaysia meningkatkan risiko mereka untuk mendapat serangan jantung.
Mengikut laporan epidemiologi penyakit jantung di Malaysia, lebih daripada 17,000 kematian pada 2024 (13 peratus daripada kematian yang disahkan secara perubatan) adalah disebabkan oleh penyakit jantung iskemik.
Apabila seseorang diserang sakit dada secara tiba-tiba dan disahkan mengalami serangan jantung, tanggapan umum yang sering timbul ialah jantungnya ”tiba-tiba gagal berfungsi”.
Persepsi ini telah lama membentuk kefahaman masyarakat bahawa serangan jantung berlaku secara mendadak tanpa sebab yang jelas. Namun, dari sudut perubatan, realitinya jauh berbeza.
Serangan jantung sebenarnya tidak semestinya bermula dari jantung, sebaliknya boleh berpunca daripada gangguan fisiologi pada salur darah yang membekalkan oksigen atau dikenali sebagai oxygen rich blood ke sel jantung (mayocardium) dan ini adalah punca utama kepada penyakit jantung iskemik atau ischaemic heart disease.
Dalam keadaan normal, jantung adalah otot yang sangat bergantung kepada bekalan oksigen yang berterusan. Secara fisiologi, otot jantung mempunyai keperluan oksigen yang tinggi dan tidak mampu menyimpan oksigen dalam tempoh yang lama.
Oleh itu, walaupun gangguan aliran darah berlaku hanya beberapa minit, kesannya boleh menjadi serius dan kekal. Gangguan ini boleh menyebabkan satu kondisi klinikal yang dikenali sebagai penyakit jantung iskemik.
Serangan jantung atau myocardial infarction berlaku apabila aliran darah ke sebahagiaan otot jantung terhenti secara mengejut. Apabila aliran ini terganggu, sel-sel otot jantung akan mengalami kekurangan oksigen atau hipoksia.
Dalam keadaan hipoksia, proses metabolisme di dalam sel jantung terganggu, menyebabkan sel kehilangan keupayaan untuk mengecut dan akhirnya mati. Kerosakan inilah yang mengancam nyawa.
Selain itu, punca utama gangguan aliran darah ini bukanlah kegagalan jantung secara spontan, tetapi penyumbatan arteri koronari akibat daripada proses yang panjang.
Penyumbatan ini sering bermula dengan proses ateroskelorosis, iaitu penyakit salur darah yang berkembang secara perlahan disebabkan terbinanya lapisan plak di dalam salur darah dan boleh menyebabkan kerosakan pada lapisan dinding salur darah.
Dari sudut fisiologi, endotelium lining (lapisan pada dinding salur darah) berfungsi untuk mengekalkan aliran darah yang lancar dan mencegah pembekuan darah.
Apabila endotelium rosak akibat faktor seperti merokok, tekanan darah tinggi, diabetes dan kolesterol tinggi, fungsi perlindungan ini akan terganggu.
Kerosakan endotelium membolehkan kolesterol low-density lipoprotein (LDL) (atau secara bahasa awam sering dikatakan sebagai kolesterol ’jahat’) memasuki dinding salur darah dan mencetuskan tindak balas keradangan.
Sel-sel radang akan berkumpul dan membentuk plak aterosklerosis yang menyempitkan lumen salur darah. Dalam keadaan tertentu, pengumpulan plak ini menjadi tidak terkawal dan pecah.
Pecahan plak ini mengaktifkan sistem pembekuan darah secara mendadak, lalu menghasilkan darah beku yang boleh menyumbat arteri koronari sepenuhnya.
Apabila bekalan darah terhenti, otot jantung yang bergantung sepenuhnya kepada aliran tersebut akan mengalami kerosakan akut (tiba-tiba), seterusnya menyebabkan serangan jantung.
Hakikat ini selari dengan peringatan dalam Al-Quran bahawa manusia perlu menjaga diri dan tidak mencampakkan diri ke dalam kebinasaan. Allah SWT berfirman:
”Dan janganlah kamu mencampakkan diri kamu ke dalam kebinasaan…” (Surah Al- Baqarah, 2:195)
Ayat ini memberi isyarat bahawa tindakan dan gaya hidup manusia memainkan peranan penting dalam menentukan tahap kesihatan. Amalan seperti merokok, pemakanan tidak sihat, kurang aktiviti fizikal dan pengabaian kesihatan adalah antara faktor yang menyumbangkan kepada kerosakan salur darah secara beransur-ansur dan dalam proses masa yang panjang.
Oleh itu, tindakan yang sewajarnya diambil adalah memastikan gaya hidup dan pemakanan yang sihat, termasuklah amalan kerap bersenam, sekurang-kurangnya lima hari seminggu, dengan tempoh masa 30 minit setiap sesi.
Menurut data Kementerian Kesihatan Malaysia, penyakit jantung iskemik kekal sebagai punca utama kematian di negara ini, dengan peningkatan kes dalam kalangan individu berusia muda.
Oleh itu, pemahaman bahawa serangan jantung bukan berlaku secara tiba-tiba tetapi merupakan hasil dariada proses penyakit yang berpanjangan perlu disebarkan secara meluas.
Kesimpulannya, menjaga kesihatan jantung bukan sahaja tuntutan perubatan, tetapi juga selaras dengan tuntutan agama. Pencegahan melalui gaya hidup sihat adalah langkah terbaik dalam mengurangkan risiko penyakit jantung dan memastikan kualiti hidup yang lebih baik.
Rujukan
- Kementerian Kesihatan Malaysia. Health Facts 2024. Putrajaya: KKM; 2024.
- Guyton and Hall Textbook of Medical Physiology. Hall JE. 14th ed. Elsevier; 2021.
Mengenai penulis: Dr. Nur Nabilah Abu Bakar adalah Pensyarah Fisiologi Jabatan Sains Perubatan I, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM); dan
Dr Sharifah Najwa Binti Syed Mohamad adalah Pensyarah Perubatan, Fakulti Perubatan dan Sains Kesiahtan, USIM & Pakar Perubatan Keluarga, Klinik Pakar Kesihatan USIM, USIM Healthcare Sdn. Bhd.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L