KUALA LUMPUR – Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Akmal Salleh menegaskan pendiriannya terhadap isu “tebuk atap” dalam politik, sambil mengkritik sikap tidak konsisten sesetengah pihak dalam menangani krisis politik di beberapa negeri.
Menurut beliau, ketika krisis pertukaran Menteri Besar di Perlis, ramai penyokong bertindak agresif mempertahankan kepimpinan sedia ada, termasuk mengkritik tindakan wakil rakyat yang menyokong perubahan sehingga ada yang dipecat dari parti.
Malah, terdapat gesaan agar pilihan raya negeri diadakan sebagai tanda protes terhadap tindakan yang disifatkan sebagai “tebuk atap”.
“Cacian dan makian terhadap tindakan itu tidak terkira, bergunung diterima daripada penyokong mereka,” katanya.
Namun, beliau menyifatkan situasi berbeza apabila krisis politik berlaku di Negeri Sembilan.
Katanya, apabila beliau menyuarakan ketidaksetujuan terhadap pendekatan sama, beliau pula menjadi sasaran kecaman.
Dr Akmal menegaskan, prinsipnya kekal konsisten iaitu UMNO boleh menarik sokongan daripada kerajaan perpaduan, namun bukan untuk tujuan mendapatkan jawatan atau menubuhkan kerajaan melalui pintu belakang.
“Kita tarik sokongan kerana tidak bersetuju dengan apa yang dilakukan oleh Pakatan Harapan (PH), tetapi kita tetap menghormati mandat rakyat,” jelas beliau.
Dr. Akmal turut berkata, sebarang kejatuhan kerajaan akibat penarikan sokongan seharusnya disusuli dengan pilihan raya bagi mengembalikan mandat kepada rakyat, bukan melalui pembentukan kerajaan secara tidak langsung.
Dalam masa sama, beliau melihat perkembangan sokongan daripada wakil rakyat Perikatan Nasional (PN) kepada Barisan Nasional (BN) di Negeri Sembilan sebagai sesuatu yang positif ke arah kerjasama parti Melayu.
Namun, beliau menegaskan kerjasama tersebut perlu dilakukan melalui saluran yang betul, seperti pilihan raya, bukan melalui kaedah “tebuk atap”.
“Saya mengajak untuk kita bekerjasama dalam pilihan raya, seperti yang pernah saya nyatakan dalam pendekatan ‘keluar sekejap’, bagi melihat kerjasama antara UMNO dan PAS dapat direalisasikan,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau mengkritik golongan yang disifatkan sebagai pentaksub yang menurutnya, menghalalkan sesuatu tindakan apabila menguntungkan mereka, tetapi menolaknya apabila sebaliknya.
“Rakyat perlukan pemimpin yang berprinsip, bukan pentaksub,” tegas beliau.
Dr Akmal menegaskan, beliau akan terus berpegang kepada prinsipnya sama ada UMNO menjadi pembangkang yang bermaruah atau kembali mendapatkan mandat melalui pilihan raya, bukan dengan menubuhkan kerajaan melalui cara “tebuk atap”.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L