SEOUL – Pasukan pendakwa khas pada Jumaat memohon hukuman penjara 30 tahun terhadap bekas Presiden Korea Selatan Yoon Suk Yeol, atas tuduhan memanfaatkan musuh susulan dakwaan mengarahkan penghantaran dron tentera ke ruang udara Pyongyang pada 2024, lapor Agensi Berita Yonhap.
Pasukan yang diketuai pendakwa khas Cho Eun-suk itu turut memohon Mahkamah Daerah Pusat Seoul menjatuhkan hukuman penjara 25 tahun terhadap bekas Menteri Pertahanan Kim Yong-hyun atas dakwaan yang sama.
Pasukan itu percaya penghantaran dron pada Oktober 2024 bertujuan mencetuskan tindak balas Korea Utara, sebagai alasan untuk melaksanakan undang-undang tentera oleh Yoon, dua bulan kemudian.
“Akibat perbuatan jenayah ini, kepentingan ketenteraan negara terjejas teruk apabila ia membawa kemudaratan besar kepada keselamatan negara,” menurut pasukan itu, sambil mendakwa kedua-duanya melakukan “jenayah terhadap negara dan rakyat.”
Pasukan itu berhujah yang tindakan berkenaan meningkatkan ketegangan antara Korea ketika itu serta membocorkan rahsia ketenteraan apabila satu daripada dron terhempas di Korea Utara.
Pyongyang sebelum ini mendakwa Seoul menghantar dron ke negaranya beberapa kali dan turut mengeluarkan imej dron yang terhempas.
Prosiding perbicaraan pada Jumaat dijalankan secara tertutup atas faktor keselamatan negara.
Awal bulan ini, pasukan itu turut memohon hukuman penjara 20 tahun terhadap bekas Ketua Markas Risik Balas Pertahanan Yeo In-hyung dan hukuman lima tahun terhadap bekas Ketua Markas Operasi Dron Kim Yong-dae kerana penglibatan mereka dalam insiden berkenaan.
Yoon, yang kini dalam tahanan, berdepan beberapa perbicaraan jenayah berkaitan percubaan melaksanakan undang-undang tentera pada 3 Disember 2024.
Pada Februari lepas, sebuah mahkamah daerah menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup terhadapnya kerana mengetuai pemberontakan melalui pengisytiharan undang-undang tentera yang singkat. – BERNAMA-YONHAP
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L