WASHINGTON – Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menegaskan serangan terhadap pasukan pengaman antarabangsa mesti dihentikan segera susulan kematian seorang lagi anggota dalam insiden terbaru di selatan Lubnan.
Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres, melahirkan rasa dukacita atas kematian anggota pengaman dari Perancis yang berkhidmat di bawah Pasukan Interim PBB di Lubnan (UNIFIL), selepas cedera dalam serangan pada 18 April lalu.
Menurut jurucakapnya, Stephane Dujarric, insiden tersebut merupakan antara beberapa serangan kebelakangan ini yang mengakibatkan kematian dan kecederaan serius dalam kalangan anggota pengaman.
Beliau berkata, semua pihak perlu mematuhi undang-undang antarabangsa serta memastikan keselamatan dan perlindungan terhadap anggota PBB sentiasa terjamin.
“Serangan terhadap pasukan pengaman adalah pelanggaran serius undang-undang kemanusiaan antarabangsa dan boleh dianggap sebagai jenayah perang,” katanya.
Tambahnya, setiap serangan perlu disiasat segera dan pihak bertanggungjawab mesti dibawa ke muka pengadilan.
Terdahulu, pihak Perancis mengesahkan kematian seorang lagi anggota tenteranya yang sebelum ini dipindahkan untuk rawatan selepas cedera dalam serangan sama yang turut mengorbankan seorang anggota lain serta mencederakan beberapa yang lain. – BERNAMA
Berita ini diolah semula oleh Siti Khadijah Manudin, pelajar Sarjana Muda Komunikasi Dengan Kepujian dari USIM yang sedang menjalani Latihan Industri di NasionalDaily
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L