Lucut pesaka, semua keputusan Mubarak dianggap tidak sah sejak 13 Mei tahun lalu

KUALA LUMPUR – Semua keputusan oleh Undang Luak Sungei Ujong, Mubarak Thahak yang dibuat mulai 13 Mei tahun lalu dianggap tidak sah susulan pesaka Datuk Klana Petra yang disandang beliau sudah dilucutkan berkuat kuasa pada tarikh berkenaan.

Perkara itu dimaklumkan oleh Yang Mulia Telaga Undang, Sarifah Norzaidah Al-Qadri, dalam kenyataan hari ini, lapor Berita Harian.

“Seyogia dimaklumkan, Mubarak bin Thahak ialah Anak Waris Klana Hulu. Oleh itu, Ibu Soko-Ibu Soko Klana Hulu bersama Anak-Anak Waris mempunyai kuasa untuk melucutkan gelaran YTM Dato’ Klana Petra yang dipegangnya, berkuat kuasa 13 Mei 2025.

“Apa-apa jua keputusan dibuat oleh beliau mulai tarikh berkenaan hendaklah dianggap sebagai tidak sah,” katanya.

Kenyataan itu menyusul selepas Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir serta semua anggota Dewan Keadilan dan Undang sudah menerima pemberhentian Mubarak pada 17 April lalu.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun sebelum ini dilaporkan berkata, penerimaan pemberhentian Mubarak itu dilakukan pada satu sidang khas Dewan Keadilan dan Undang di Istana Besar Seri Menanti, Kuala Pilah selepas 33 sebab dibentangkan.

Aminuddin berkata, dalam sidang khas itu, Dewan Keadilan dan Undang Negeri Sembilan menasihatkan Luak Sungei Ujong agar menerima pemberhentian Mubarak sebagai penyandang pesaka Dato’ Klana Petra luak berkenaan.

Sehubungan itu, Sarifah Norzaidah berkata, Ibu Soko-Ibu Soko Klana Hulu dan Anak-anak Waris Klana Hulu menjunjung kasih terhadap nasihat yang diberikan oleh anggota-anggota Dewan yang bersidang.

“Nasihat Dewan itu mengikut Fasal 16 Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan (UUTKNS) 1959 dan ia selaras dengan adat Sungei Ujong berkenaan hal pemberhentian Undang Luak yang terangkum dalam Fasal 14 (3) UUTKNS 1959,” katanya.

Jelasnya lagi, pemberhentian itu juga dibuat mengikut Fasal 7 Undang-undang Sungei Ujong yang berpaksikan prinsip adat, iaitu sesuatu keputusan yang “tiada lengkang di panas, tiada lapuk oleh hujan, setapak tiada lalu dan setapak tiada surut.”

“Tindakan berkenaan sejajar dengan amalan sistem Waris Berundang digunapakai oleh Luak Sungei Ujong sejak ratusan tahun lalu.

“Mengikut Adat Purbakala Luak Sungei Ujong, mana-mana Dato’ Lembaga Tiang Balai tiada kuasa (locus standi) menentukan pemilihan, pelantikan dan pemberhentian Undang Luak Sungei Ujong.

“Semua pihak perlu akur nasihat Dewan dan segala pentadbiran adat Waris di Darat Luak Sungei Ujong kini hendaklah dibawa ke rumah Telaga Undang,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan Mubarak dilucutkan jawatan sebagai penyandang pesaka Datuk Klana Petra Undang Luak Sungei Ujong ke-10 selepas didakwa melanggar hukum syarak dan adat.

Ia dibuat berdasarkan pengumuman rasmi oleh Tua Lembaga Waris di-Darat, Datuk Andulika Mandalika Zainol Ariffin Ibrahim, selepas mendapat persetujuan serta keizinan Ibu Soko Klana Hulu dan Anak Waris Klana Hulu.

Menurut kenyataan rasmi pada akhir bulan lalu, keputusan itu dibuat selepas satu mesyuarat diadakan pada 1 April 2025 di Telaga Undang Sungei Ujong.

Kenyataan itu menjelaskan bahawa semua kesalahan berkenaan turut dilaporkan kepada Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut pihak berkuasa.

Dalam pada itu, Sarifah Norzaidah menjelaskan pemberhentian itu dibuat berpandukan bukti terhadap kesalahan yang dilakukan, tanpa sebarang unsur fitnah serta tanpa campur tangan mana-mana pihak luar.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *