Langkah Baharu Kerajaan Pacu Agromakanan, Bela Nasib Pesawah

PUTRAJAYA — Dalam usaha memperkukuh daya tahan sektor agromakanan, kerajaan memperkenalkan rangkaian inisiatif baharu yang disasar membantu pesawah, petani dan pekebun kecil menangani tekanan kos susulan ketidaktentuan krisis tenaga global.

Menurut Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, pelaksanaan inisiatif tersebut akan digerakkan secara menyeluruh melalui kerjasama erat antara kementerian serta agensi berkaitan, bagi memastikan setiap perancangan diterjemah dengan berkesan di peringkat lapangan.

Tambah kementerian itu, langkah-langkah yang diperkenalkan bukan sahaja berupaya merancakkan produktiviti sektor agromakanan, malah menjadi pemangkin penting dalam memperkukuh keterjaminan bekalan makanan negara, sama ada untuk keperluan semasa mahupun jangka panjang.

Katanya, penambahbaikan berkenaan amat signifikan serta tepat pada masanya susulan cabaran krisis tenaga global akibat konflik di Asia Barat yang memberi tekanan besar kepada kos pengeluaran makanan dan rantaian bekalan.

KPKM turut menyambut baik pendekatan Kerajaan MADANI yang mengutamakan keterjaminan bekalan makanan serta kesejahteraan rakyat.

Semalam, Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir memaklumkan kerajaan bersetuju menaikkan kadar Insentif Pembajakan kepada Pesawah (IPKP) daripada RM160 kepada RM300 sehektar bagi musim penanaman 2026.

Langkah itu dijangka memberi manfaat kepada hampir 200,000 pesawah dalam mengurangkan beban kos operasi.

Selain itu, bantuan tunai di bawah inisiatif BUDI Agri-Komoditi dan BUDI Diesel Individu turut dinaikkan daripada RM300 kepada RM400 sebulan bagi April 2026.

KPKM memaklumkan, inisiatif berkenaan dijangka memberi manfaat kepada lebih 200,000 petani dan pekebun kecil serta kira-kira 150,000 pemilik kenderaan diesel individu di Semenanjung Malaysia.

Berita ini diolah semula oleh Fatin Sajidah Fathuldin. Beliau adalah pelajar Sarjana Muda Komunikasi Dengan Kepujian dari USIM yang sedang menjalani Latihan Industri di NasionalDaily

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *