KEPALA BATAS – Bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin menegaskan, keutamaan beliau ketika ini adalah proses untuk kembali menyertai UMNO, bukan soal penyertaan dalam pilihan raya.
Menurutnya, sebarang perbincangan mengenai kerusi yang bakal ditandingi dalam Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang masih terlalu awal memandangkan beliau masih di peringkat permohonan untuk kembali ke dalam parti.
“Saya rasa belum sesuai untuk bincang soal bertanding di mana kerana saya masih dalam proses untuk kembali,” katanya selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Ahli Dewan Undangan Negeri Bertam, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, di sini malam tadi.
Selepas tiga tahun dipecat daripada UMNO, Khairy menyerahkan surat rayuan untuk kembali bersama UMNO pada 15 Mac lepas.
Naib Presiden UMNO Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin sebelum ini berkata permohonan beberapa bekas pemimpin UMNO termasuk Ahli Parlimen Sembrong Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Khairy untuk menyertai semula parti itu akan dibincangkan dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO pada 17 April ini berteraskan semangat “Rumah Bangsa”.
Khairy berkata penentuan calon dan agihan kerusi oleh Barisan Nasional (BN) adalah di bawah bidang kuasa Pengerusi Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang juga Presiden UMNO, justeru beliau tidak mahu mendahului sebarang keputusan parti.
Dalam pada itu, beliau berkata hasrat bekas Perdana Menteri Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi yang juga Bekas Ahli Parlimen Kepala Batas agar kerusi Parlimen berkenaan terus dipimpin oleh individu yang diyakininya, iaitu Reezal Merican yang kini Pengerusi Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) perlu dihormati.
“Ketika hayatnya, Pak Lah ada berpesan kepada kami berdua, saya sebagai menantu dan Reezal Merican sebagai anak politik beliau, supaya Kepala Batas ini biarlah Reezal yang jaga.
“Jadi, takkanlah saya tidak menghormati keputusan dan hajat orang tua saya. Saya berharap semoga Reezal Merican berjaya dalam PRU dan dapat merampas semula Parlimen Kepala Batas,” katanya.
Pada PRU ke-15, Reezal Merican gagal mempertahankan kerusi Parlimen Kepala Batas apabila kalah kepada calon Perikatan Nasional (PN) Dr Siti Mastura Muhammad dengan majoriti 2,867 undi.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L