‘Dunia makin muak naratif palsu Israel’ – Iran nafi lancar peluru berpandu sasar Diego Garcia

ISTANBUL – Iran hari ini menafikan dakwaan bahawa ia menyasarkan sebuah pangkalan tentera Amerika Syarikat (AS)-United Kingdom (UK) di Diego Garcia dengan peluru berpandu, lapor Anadolu Ajansi (AA).

Jurucakap Kementerian Luar Iran, Esmaeil Baqaei, dalam satu kenyataan melalui X menegaskan tuduhan terbaru itu tidak mempunyai kredibiliti dan mencerminkan corak ‘maklumat palsu’.

“Malah, keengganan Setiausaha Agung NATO (Mark Rutte) sendiri untuk menyokong maklumat palsu terbaru Israel, sudah cukup menggambarkan dunia semakin muak dengan naratif ‘bendera palsu’ yang lapuk dan tidak lagi dipercayai ini,” tulisnya.

Kenyataan itu menyusul selepas Rutte dilaporkan berkata, perikatan berkenaan ‘tidak dapat mengesahkan’ dakwaan Israel bahawa peluru berpandu yang menyasarkan Diego Garcia adalah peluru berpandu balistik antara benua milik Iran.

Pada Jumaat lalu, Wall Street Journal melaporkan dua peluru berpandu balistik jarak sederhana telah dilancarkan ke arah pangkalan berkenaan, namun kedua-duanya tidak mengenai sasaran.

Pentagon tidak memberikan maklum balas segera kepada permintaan Anadolu untuk mendapatkan komen.

Diego Garcia adalah satu daripada dua pangkalan yang dibenarkan UK untuk digunakan oleh AS sebagai sebahagian daripada kempen ketenteraan berterusan terhadap Iran.

Insiden dilaporkan itu menarik perhatian kerana Diego Garcia terletak kira-kira 4,000 kilometer (2,485 batu) dari Iran, iaitu dua kali ganda had jarak peluru berpandu Iran yang didakwa ditetapkan 2,000 kilometer oleh Tehran sendiri.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *