Mengenali KWSP Melalui Syiling Peringatan

Oleh: Profesor Dr. Mohd Yahya Mohamed Ariffin

PADA 28 Februari lalu, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengumumkan dividen simpanan pencarum bagi tahun 2025 sebanyak 6.15 peratus dengan jumlah agihan dividen sebanyak RM79.6 bilion. Kadar tersebut adalah bagi akaun Simpanan Konvensional dan Simpanan Syariah.

Pengumuman tersebut sememangnya ditunggu-tunggu oleh para pencarum yang terdiri daripada pekerja dan penyimpan secara sukarela. Walaupun kadarnya sedikit rendah berbanding tahun 2024 (6.30 peratus), tetapi masih tinggi jika dibandingkan dengan dividen instrumen simpanan lain.

Penulis percaya, pihak pengurusan KWSP bekerja keras untuk mendapat pulangan dividen yang terbaik setiap tahun hasil pelaburan strategik yang dilakukan bagi pihak ahli-ahlinya.  

Penubuhan KWSP

Dalam perkaitan dengan kewujudan KWSP, penulis tertarik dengan inisiatif Bank Negara Malaysia (BNM) secara berterusan sejak beberapa dekad yang lepas melalui penghasilan sesuatu yang unik.

Apa yang penulis maksudkan adalah penghasilan syiling peringatan atau komemoratif sebagai memperingati peristiwa penting dan kejayaan institusi-institusi penting di negara ini termasuk KWSP.

Sebelum menceritakan lebih lanjut, penulis mengimbau kembali secara ringkas sejarah dan perkembangan KWSP, sebuah institusi yang menjaga caruman para pekerja sama ada sektor awam atau swasta di negara ini.

KWSP yang diletakkan di bawah Kementerian Kewangan merupakan antara dana simpanan persaraan tertua di dunia, yang ditubuhkan pada tahun 1951 untuk melindungi masa hadapan persaraan tenaga kerja Malaysia (www.kwsp.gov.my).

Mengikut Akta KWSP 1991, pekerja dan majikan mereka dikehendaki mencarum ke dalam simpanan persaraan mereka, dan membenarkan pekerja mengeluarkan simpanan ini semasa bersara atau untuk tujuan khas sebelum itu.

Sejak ditubuhkan, KWSP telah berkembang dari segi saiz dan kini yang mampu menguruskan lebih daripada 16 juta ahli dengan jumlah aset pelaburan melebihi RM1 trilion (www.kwsp.gov.my).

Fokus utama KWSP untuk membina masa hadapan persaraan rakyat negara ini yang lebih baik. Dengan demikian, dapat membantu ahli-ahli mencapai pendapatan persaraan yang selesa.

Hal ini penting kerana persaraan seharusnya menjadi fasa baharu dalam kehidupan yang dilengkapi dengan keselamatan kewangan, kesihatan yang baik, serta kesejahteraan hidup secara menyeluruh.

Oleh itu, misi institusi ini membantu ahli mencapai pendapatan persaraan yang selesa selaras dengan matlamat untuk memastikan kestabilan kewangan jangka panjang dan kehidupan bermakna buat pencarum.

Berpandukan nilai-nilai yang dipegang iaitu “Progresif, Prihatin, Kerjasama dan Integriti”, KWSP kekal teguh dalam mendokong tanggungjawabnya untuk melindungi dan meningkatkan simpanan ahli, menyediakan perkhidmatan cemerlang, serta terus berevolusi mengikut peredaran masa.

Institusi ini menyediakan sistem yang efisien dan mudah bagi memastikan para majikan memenuhi tanggungjawab undang-undang serta kewajipan moral mereka untuk mencarum bagi pihak pekerja mereka (www.kwsp.gov.my).

Syiling peringatan KWSP

Pada tahun 1976 iaitu 50 tahun yang lampau, BNM telah mengeluarkan syiling peringatan bersempena Ulang Tahun Ke-25 KWSP (1951-1976). Sebanyak tiga jenis denominasi, iaitu RM1, RM25 dan RM250 dihasilkan dan dijual kepada orang ramai.

Pada tahun tersebut, BNM mengeluarkan lebih 500 ribu keping syiling RM1. Syiling ini diperbuat daripada logam kupro-nikel, dengan garis pusat 33.40 milimeter seberat 16.80 gram.

Syiling RM25 pula dihasilkan sebanyak 100 ribu keping yang diperbuat daripada logam perak (0.925), seberat 34.10 gram dengan garis pusat 42.00 milimeter.

Lebih menarik, syiling dengan denominasi RM250 diperbuat daripada emas (0.900). Berat syiling ini adalah 10.11gram dengan garis pusat 26.15 milimeter. Sebanyak 37,706 keping dihasilkan.

BNM juga mengeluarkan sebanyak 1,000 set pruf 3 dalam 1 yang lebih menarik, mengandungi ketiga-tiga jenis syiling.

Reka bentuk hadapan syiling tersebut adalah berbeza-beza mengikut denominasi. Bahagian hadapan syiling 1 Ringgit memaparkan gambar pekerja mengelilingi logo KWSP.

Gambar peta Malaysia dan logo KWSP di tengahnya untuk syiling 25 Ringgit perak sementara logo KWSP kelihatan pada 250 Ringgit emas.

Bahagian belakang ketiga-tiga duit syiling tersebut memaparkan denominasi masing-masing, perkataan “Ulang Tahun Ke 25 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja” dan “Malaysia 1976” dalam huruf besar (www.malaysiancoin.com).

Ketiga-tiga syiling tersebut mempunyai saiz yang berbeza berbanding syiling-syiling yang berada dalam edaran ketika itu yang digunakan oleh rakyat Malaysia untuk berurus niaga.

75 tahun usia KWSP

Pada tahun ini genap 75 tahun usia KWSP. Sejak ditubuhkan institusi ini telah banyak berjasa kepada golongan pekerja di negara ini yang menjaga caruman dengan penuh tanggunjawab. Malah, mampu memberi pulangan dalam bentuk dividen setiap tahun bagi membantu para pencarum menjalani kehidupan semasa bersara.

Oleh itu, penulis ingin mencadangkan supaya BNM dengan kerjasama KWSP menghasilkan syiling Ulang Tahun ke-75 (Jubli Intan) KWSP. Hal ini penting kerana usia tersebut hanya wujud sekali dalam sejarah institusi berkenaan. Apatah lagi telah banyak berjasa kepada golongan pekerja di negara ini.

Penulis yakin ramai pengumpul dan peminat syiling peringatan di luar sana akan membeli dan menjadikannya koleksi peribadi atau sebagai cendaramata kepada orang lain. Sudah tentu penulis juga berminat untuk memilikinya.

Berdasarkan pengalaman penulis, syiling peringatan yang dikeluarkan oleh BNM sering mendapat sambutan yang baik daripada pembeli khususnya pengumpul wang. Malah terdapat syiling peringatan yang permintaannya melebihi penawaran.

Maka, amat wajar BNM dan KWSP sekali lagi menghasilkan syiling-syiling peringatan Jubli Intan seperti yang dilakukan ketika sambutan ulang tahun ke-25 pada tahun 1976.

Mungkin suatu hari kelak koleksi yang diabadikan dalam bentuk mata wang peringatan ini akan menjadi bahan sejarah berkaitan KWSP yang boleh dijadikan koleksi dan rujukan oleh masyarakat dan generasi akan datang.

Profesor Dr Mohd Yahya Mohamed Ariffin ialah Presiden Persatuan Pendidikan Komunikasi Malaysia (MACE) dan Profesor, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nilai, Negeri Sembilan.

Foto syiling peringatan disertakan

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *