DUBAI – Lapangan Terbang Antarabangsa Dubai (DXB) mengalami kerosakan susulan serangan Iran pada malam tadi, yang menyasarkan beberapa lokasi di negara Teluk, kata sumber penerbangan.
Dalam kejadian itu, pihak berkuasa mengesahkan empat individu mengalami kecederaan setakat ini.
Menurut pejabat media Dubai menerusi platform X, sebuah ruang legar di DXB mengalami kerosakan kecil dalam satu kes yang berjaya dikawal dengan pantas, namun tiada butiran lanjut mengenai perkara itu.
Sumber memberitahu salah satu terminal di lapangan terbang berkenaan yang lazimnya dikenali sebagai hab penerbangan paling sibuk di dunia, rosak akibat serangan Iran, tetapi cuma dirujuk pihak berkuasa sebagai satu kes.
Selain DXB, sumber memaklumkan Lapangan Terbang Antarabangsa Abu Dhabi turut terkena tempias serangan.
Bagaimanapun, sumber tidak mendedahkan secara lanjut sama ada kedua-dua lapangan terbang itu menerima hentaman langsung atau kerosakan berpunca daripada serpihan yang terjatuh selepas peluru berpandu dipintas.
Setakat ini, tiada maklum balas diterima susulan kejadian itu daripada Dubai Airports mahupun Abu Dhabi Airports Company.
Mengikut laporan, peluru berpandu Iran dilancarkan ke arah Abu Dhabi, Dubai dan Doha yang menjadi pintu masuk utama antara Timur dan Barat.
Rentetan serangan peluru berpandu itu, syarikat penerbangan menggantung operasi penerbangan di seluruh Asia Barat semalam, termasuk penerbangana ulang alik Dubai-Abu Dhabi.
Ia bermula selepas Amerika Syarikat (AS) dan Israel melancarkan serangan ke atas Iran, sebelum Iran bertindak balas dengan melancarkan peluru berpandu.
Sementara itu, peta penjejakan penerbangan menunjukkan ruang udara di sebahagian besar rantau itu hampir kosong.
Ia menyaksikan Dubai Airports menggantung semua penerbangan di DXB serta Lapangan Terbang Antarabangsa Al Maktoum, sambil menasihati penumpang tidak menuju ke lapangan terbang.
Syarikat penerbangan Emirates dan Flydubai turut menghentikan operasi mereka, manakala Etihad menggantung semua penerbangan berlepas dari Abu Dhabi sehingga pagi ini. – REUTERS
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L