Oleh: Dr. Nur Nabilah Abu Bakar, Dr. Sharifah Najwa Syed Mohamad dan Dr. Nurazah Ismail
”Kalau iman kuat, takkan murung.”
”Kalau ada pegangan agama, mesti dia tak stress”
Ungkapan ini sering diungkapkan dalam masyarakat majmuk pelbagai bangsa di Malaysia, namun hakikatnya, kemurungan bukan tanda kelemahan iman, sebaliknya satu diagnosis perubatan yang melibatkan perubahan fisiologi otak dan tubuh manusia, kebiasaannya akibat tekanan yang berpanjangan.
Dalam masyarakat kita, secara umum masalah kesihatan mental sering dikaitkan dengan kelemahan iman atau kekurangan kekuatan rohani. Individu mengalami kemurungan misalnya, kerap disarankan supaya ”lebih mendekatkan diri kepada Tuhan”, seolah penyakit dialami berpunca daripada kegagalan spiritual semata-mata.
Hakikatnya, kemurungan bukan tanda lemahnya iman, sebaliknya satu gangguan melibatkan perubahan fungsi dalam sistem fisiologi tubuh badan manusia.
Mitos ini bukan sahaja mengaburkan kefahaman masyarakat, malah menyumbang kepada stigma yang menghalang individu mengalami simptom kemurungan daripada mendapatkan rawatan sewajarnya daripada pakar perubatan.
Kemurungan bukan sekadar perasaan sedih bersifat sementara, tetapi keadaan kesihatan mental yang dicirikan oleh gangguan emosi berpanjangan, hilang minat terhadap aktiviti rutin, keletihan melampau, gangguan tidur dan selera makan serta kesukaran menumpukan perhatian dalam aktiviti harian.
Dari sudut fisiologi, keadaan ini boleh berlaku apabila fungsi fisiologi terganggu, contohnya keseimbangan neurotransmitter seperti serotonin, dopamin dan noradrenalin bukan di paras normal.
Neurotransmitter adalah hormon yang dirembeskan oleh otak, di mana ia berperanan penting dalam memberi isyarat untuk mengawal emosi, motivasi, tidur dan rasa gembira.
Apabila isyarat antara sel saraf tidak berfungsi dengan baik, individu akan mengalami perubahan emosi dan tingkah laku yang sukar dikawal walaupun tanpa pencetus jelas.
Selain itu, kemurungan turut melibatkan perubahan pada struktur dan fungsi otak. Bahagian otak seperti ”hippocampus” yang berkait dengan emosi dan ingatan serta ”prefrontal cortex” yang mengawal pemikiran serta membuat keputusan, didapati kurang aktif dalam kalangan individu yang mengalami kemurungan.
Tekanan emosi berpanjangan juga merangsang paksi hipotalamus-pituitari-adrenal (HPA), iaitu sistem hormon stress dalam tubuh, lalu menyebabkan peningkatan hormon kortisol.
Paras kortisol yang tinggi secara kronik bukan sahaja menjejaskan fungsi otak, malah boleh melemahkan sistem imun, mengganggu kitaran tidur dan memberi kesan kepada kesihatan fizikal secara keseluruhan.
Inilah sebabnya individu dengan gangguan kemurungan sering mengalami gejalan fizikal seperti sakit badan, cepat penat dan mudah jatuh sakit walaupun tiada penyakit fizikal yang jelas dikesan.
Namun, kajian menunjukkan kemurungan bukan sekadar masalah ”ketidakseimbangan neurotransmitter”, tetapi melibatkan interaksi kompleks antara faktor genetik, persekitaran, tekanan psikososial dan perubahan dalam rangkaian otak yang mengawal emosi dan pemikiran melalui model biopsychosocial-spiritual.
Dalam konteks ini, iman dan amalan spiritual tidak wajar dilihat sebagai bertentangan dengan rawatan perubatan. Iman boleh menjadi sumber kekuatan dalaman, memberi harapan dan ketenangan, namun ia bukan pengganti kepada rawatan klinikal.
Kemurungan, seperti penyakit kronik lain memerlukan pendekatan menyeluruh merangkumi rawatan ubat, terapi psikologi, sokongan sosial dan gaya hidup sihat.
Mengabaikan rawatan perubatan atas alasan spiritual semata-mata boleh menyebabkan keadaan bertambah buruk dan meningkatkan risiko komplikasi, termasuk kecenderungan mencederakan diri.
Stigma terhadap kesihatan mental perlu ditangani secara serius kerana ia merupakan penghalang utama kepada proses pemulihan. Apabila kemurungan dilabel sebagai kelemahan iman, individu yang mengalami simptom kemurungan akan berasa malu, bersalah dan terasing.
Keadaan ini bukan sahaja memburukkan simptom, malah menangguhkan intervensi awal yang sepatutnya boleh menyelamatkan nyawa. Masyarakat perlu memahami otak adalah organ seperti jantung dan paru-paru, apabila fungsinya terganggu, rawatan adalah satu keperluan.
Dari segi perubatan, beberapa perkara dititikberatkan sebagai kriteria untuk mengesahkan diagnosis Gangguan Kemurungan Major atau Major Depressive Disorder, berdasarkan kriteria klinikal tertentu seperti yang digariskan dalam Diagnostic and Statistical Manual of Mental Disorders (DSM-5).
Antara simptom yang dinilai adalah seperti berikut:
- Perasaan murung atau sedih yang berpanjangan (contohnya kerap menangis)
- Kehilangan minat atau keseronokan terhadap hampir semua aktiviti harian
- Kehilangan atau kenaikan berat badan secara mendadak, tanpa usaha untuk menurunkan / menaikkan yang bersebab
- Gangguan tidur, sama ada sukar tidur atau tidur berlebihan
- Perubahan psikomotor seperti pergerakan yang perlahan atau resah gelisah
- Perasaan tidak berguna atau rasa bersalah yang berlebihan atau tidak wajar
- Keletihan yang melampau hampir setiap hari
- Sukar menumpukan perhatian dalam aktiviti harian
- Berfikir tentang kematian, idea membunuh diri atau percubaan membunuh diri
Nota: Diagnosis memerlukan sekurang-kurangnya lima simptom di atas dan gejala telah berlaku sekurang-kurangnya dua minggu. Gejala tersebut perlu menyebabkan gangguan ketara dalam fungsi sosial, pekerjaan atau akademik seseorang individu.
Diagnosis kemurungan perlu dibuat oleh profesional kesihatan mental bertauliah seperti doktor perubatan berdaftar, pakar psikiatri atau pegawai psikologi klinikal bertauliah, manakala rawatan ditentukan berdasarkan peniliaian menyeluruh terhadap keadaan individu tersebut.
Selain rawatan melibatkan pengambilan ubat, terapi psikologi atau psikoterapi dan psikososial (termasuklah rohaniah dan spiritual) juga amat membantu untuk mendorong individu mengalami simptom kemurungan itu ke arah proses pemulihan.
Oleh itu, sebaik sahaja tanda-tanda kemurungan telah dikesan oleh diri sendiri atau orang sekeliling, hendaklah berjumpa segera dengan doktor.
Kesimpulannya, memahami kemurungan dari lensa perubatan dan fisiologi membantu kita melihat kesihatan mental secara lebih adil dan berempati. Kesihatan mental bukan isu iman semata-mata, tetapi gabungan faktor fisiologi, psikologi dan sosial.
Masyarakat berpengetahuan ialah masyarakat yang tidak menghukum, sebaliknya menyokong individu yang sedang berjuang untuk pulih. Dengan menghapuskan stigma dan meningkatkan kesedaran, kita bukan sahaja membantu mereka yang sedang bergelut dengan kemurungan, malah membina komuniti lebih sihat dan berperikemanusiaan.
Islam sendiri tidak pernah menafikan kewujudan kesedihan, tekanan dan penderitaan emosi dalam kehidupan manusia. Al-Quran merakamkan keluhan Nabi Ya’qub a.s. yang bersedih kehilangan Nabi Yusuf a.s., sehingga matanya menjadi putih kerana terlalu berduka.
Baginda berkata: ”Sesungguhnya aku hanya mengadukan kesusahanku dan kesedihanku kepada Allah” (Surah Yusuf: 86). Ayat ini membuktikan bahawa perasaan sedih yang mendalam bukan tanda lemahnya iman, sebaliknya satu fitrah manusia yang diiktiraf oleh wahyu.
Namun, dalam masa sama, Islam tidak mengajar umatnya untuk berdiam diri tanpa usaha. Selain bersabar dan berdoa, umat Islam juga dituntut untuk berikhtiar mencari jalan penyelesaian seperti dalam riwayat Abu Dawud ”Berubatlah kamu, kerana sesungguhnya Allah Azza wa Jalla tidak meletakkan (menciptakan) sesuatu penyakit melainkan Dia menyediakan baginya ubat, kecuali satu penyakit sahaja, iaitu tua.”
Akhir kalam, mengiktiraf kesedihan sebagai fitrah tidak bermaksud membiarkan diri terus tenggelam dalam penderitaan tanpa usaha. Dalam Islam, sabar dan tawakal sentiasa berjalan seiring dengan ikhtiar.
Rujukan:
- World Health Organization. (2023). Depression.
- American Psychiatric Association. (2022). DSM-5-TR.
- Malhi GS, Mann JJ. (2018). Depression. The Lancet, 392(10161), 2299–2312.
- American Psychiatric Association. (2013). Diagnostic and statistical manual of mental disorders (5th ed.)
- Riwayat Abu Dawud, no. 3855; al-Tirmizi, no. 2038, dinilai hasan sahih oleh al-Tirmizi.
Penulis, Dr. Nur Nabilah Abu Bakar adalah Pensyarah Fisiologi Jabatan Sains Perubatan I, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan USIM;

Dr. Sharifah Najwa Syed Mohamad adalah Pensyarah Perubatan, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan USIM dan juga Pakar Perubatan Keluarga, Klinik Pakar Kesihatan USIM, USIM Healthcare Sdn. Bhd.; dan

Dr. Nurazah Ismail adalah Pensyarah Perubatan, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, USIM dan juga Pakar Psikiatri, Klinik Pakar Kesihatan USIM, USIM Healthcare Sdn. Bhd.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L