KUALA LUMPUR – CUCKOO International (MAL) Bhd menamatkan tahun kewangan penuh pertamanya sebagai entiti tersenarai di Pasaran Utama dengan mencatat pendapatan sebanyak RM1.1 bilion. Bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025 (FYE2025), syarikat mencatatkan keuntungan selepas cukai (PAT) sebanyak RM105.2 juta.
Syarikat dalam satu kenyataan berkata, keuntungan kasar bagi tahun berkenaan berjumlah RM378.7 juta, yang mewakili margin kasar yang sihat pada tahap 34.4 peratus.
Pencapaian mampan ini dipacu terutamanya oleh segmen jenama CUCKOO yang menyumbang majoriti pendapatan iaitu sebanyak RM875.8 juta atau 79.6 peratus daripada jumlah keseluruhan pendapatan FYE2025.
Sementara itu, segmen CUCKOO Co-Created turut menyumbang sebanyak RM221.1 juta atau 20.1 peratus.
Di sebalik angka tahunan yang kukuh, suku keempat tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025 (S4TK2025) memperlihatkan satu senario yang menarik di mana pendapatan syarikat disederhanakan sebanyak RM30.7 juta atau 11.6 peratus secara suku ke suku kepada RM233.6 juta.
Prestasi ini berpunca daripada jualan unit yang lebih rendah. Bagaimanapun, PAT S4TK2025 melonjak secara mendadak sebanyak 171.0 peratus kepada RM36.5 juta berbanding suku sebelumnya.
Lonjakan keuntungan bersih yang luar biasa ini adalah hasil daripada peningkatan keuntungan kasar sebanyak 20.1 peratus berikutan kos produk import dan kos perkhidmatan yang lebih rendah.
Selain itu, kerugian bersih atas pengurangan nilai instrumen kewangan menurun hampir separuh kepada RM13.5 juta pada S4TK2025, disokong oleh prestasi kutipan dan tingkah laku pembayaran balik yang lebih baik.
Bagi memperkukuhkan pencapaian ini, Pengarah Eksekutif Bukan Bebas dan Ketua Pegawai Eksekutif CUCKOO Malaysia, Hoe Kian Choon menyatakan, suku keempat tahun kewangan berakhir 2025 menunjukkan impak positif inisiatif pengurusan kredit berhemat dan disiplin operasi kami.
“Walaupun perbelanjaan pengguna masih terukur, margin kasar yang lebih baik dan prestasi kutipan yang semakin kukuh mencerminkan daya tahan model perniagaan berasaskan penyewaan kami,” katanya.
Kesan positif daripada penyenaraiannya pada Jun 2025 turut memperkukuh asas kunci kira-kira syarikat.
Ekuiti yang diagihkan kepada pemilik meningkat kepada RM1.11 bilion, manakala penggunaan hasil tawaran awam permulaan (IPO) untuk pembayaran balik pinjaman telah mengurangkan jumlah pinjaman kepada RM139.6 juta, sekali gus mencatatkan nisbah penggearan kasar yang rendah pada tahap 12.6 peratus. Tunai dan setara tunai syarikat merekodkan RM66.9 juta pada akhir Disember 2025.
Melangkah ke hadapan, CUCKOO Malaysia merancang untuk terus meluaskan pasaran dengan pelancaran Brandshops berkonsepkan “cash-and-carry”.
Inisiatif ini akan melengkapi 240 cawangan rangkaian runcit sedia ada di seluruh negara bagi mempelbagaikan aliran pendapatan melangkaui model penyewaan semata-mata.
Syarikat juga sedang giat mengembangkan portfolio produk, memperkukuh perkhidmatan penjagaan kediaman, serta menaik taraf sistem logistik dan infrastruktur teknologi maklumat (IT).
CUCKOO International (MAL) Bhd yakin bahawa peralihan struktur ke arah pengaturan sewa meletakkan syarikat pada kedudukan yang tepat untuk memberikan keuntungan yang lebih stabil dan mampan pada masa hadapan, disokong oleh pengunderaitan kredit yang berdisiplin.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L