NEW YORK – Ribut salji yang terbentuk dalam tempoh singkat dijangka membadai Pantai Timur Amerika Syarikat (AS) hari ini, mengakibatkan salji setebal hingga 0.6 meter.
Perkhidmatan Kaji Cuaca Nasional (NWS) menerusi laporan semalam, mengeluarkan amaran ribut salji dan angin kencang di New York dan sebahagian kawasan di sekurang-kurangnya enam negeri lain.
Keadaan itu, katanya, dijangka melanda semua bandar utama sepanjang koridor timur laut Lebuhraya Antara Negeri 95 yang padat penduduk, termasuk Philadelphia, Boston dan selatan Washington.
“Ia dijangka mengakibatkan ribut salji dengan jumlah terkumpul antara 30 hingga 60 sentimeter (sm) dekat Boston dan timur Massachusetts, selain angin kencang dengan kelajuan mencecah 96 kilometer sejam (km/j),” katanya.
Ibu pejabat NWS berkata, kadar salji lebih 2.5sm sejam dijangka berlaku pada beberapa bahagian Pantai Timur, dengan jumlah besar, ‘menyebabkan sebarang perjalanan hampir mustahil untuk dilakukan’.
Selain itu, katanya, salji tebal dijangka mengakibatkan gangguan bekalan elektrik.
Banjir juga diramal berlaku di sepanjang pantai negeri di timur laut serta Atlantik Tengah seperti Delaware dan New Jersey dengan komuniti dijangka menghadapi keadaan ekstrem dari petang Ahad hingga pagi Isnin.
Lebih 50 juta rakyat Amerika berada dalam laluan Nor’easter iaitu ribut besar dan kuat di sepanjang Pantai Timur Amerika Utara yang dicirikan oleh angin bertiup dari timur laut, terutama di kawasan pantai.
Di New York, pihak berkuasa dan penduduk bersedia menghadapi keadaan itu sejak insiden ribut salji yang pertama kali melanda bandar itu pada 2016.
Berucap pada sesi taklimat, Datuk Bandar, Zohran Mamdani, menjangkakan New York dilitupi salji tebal hingga mencecah lebih 0.58 meter.
“Saya minta semua penduduk New York kekal berada dalam rumah dan mengelakkan kawasan jalan raya demi keselamatan,” katanya sambil menegaskan perjalanan pada pagi Isnin di bandar itu ‘akan menjadi sangat berbahaya’.
‘Megastorm’ yang melanda bahagian timur AS pada akhir Januari lalu, dengan lebih 100 kematian di seluruh negara, selain menyebabkan salji tebal dan hujan ais di beberapa bandar.
‘Megastorm’ ialah kejadian cuaca berskala besar dan sangat kuat yang menyebabkan kerosakan teruk, angin kencang, hujan lebat dan kebiasaanya berlarutan selama beberapa hari.
Gabenor New Jersey, Mikie Sherrill, mengisytiharkan darurat bermula tengah hari ini, bertujuan membolehkan peruntukan dana dan sumber digerakkan dengan pantas bagi menangani krisis cuaca yang bakal berlaku. – AFP
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L