KUANTAN – Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, menzahirkan rasa dukacita dan kecewa yang amat mendalam susulan insiden pembunuhan tragis membabitkan lima sekeluarga di kawasan perumahan Cerating Damai, di sini, semalam.
Baginda bertitah, kejadian seumpama itu tidak wajar berlaku dan amat mengejutkan, lebih-lebih lagi apabila melibatkan sebuah institusi keluarga.
“Perkara ini tidak sepatutnya terjadi. Sebagai Raja Pemerintah, saya menasihatkan rakyat agar sentiasa berwaspada terhadap individu yang menunjukkan tingkah laku sedemikian dan tidak membiarkannya berlarutan,” titah baginda menerusi satu hantaran di laman Facebook Kesultanan Pahang.
Baginda turut menyeru orang ramai supaya lebih peka terhadap perubahan sikap individu di sekeliling mereka serta tidak mengambil mudah sebarang petanda yang boleh membawa kepada kejadian tidak diingini.
Selain itu, Al-Sultan Abdullah mengajak seluruh rakyat untuk bersama-sama menghadiahkan bacaan al-Fatihah kepada mangsa yang terkorban dalam insiden berkenaan.
Dalam kejadian kira-kira jam 7 pagi semalam, dua kanak-kanak perempuan berusia tiga dan empat tahun bersama ibu bapa mereka yang masing-masing berumur 28 dan 32 tahun ditemukan tidak bernyawa di dalam bilik tidur.
Seorang wanita berusia 55 tahun turut ditemui maut di ruang dapur rumah berkenaan.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman dilaporkan berkata, lelaki berusia 32 tahun itu dipercayai menyerang isterinya, ibu serta dua anaknya menggunakan senjata tajam yang disyaki pisau sebelum mencederakan diri sendiri dan meninggal dunia.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L