PETALING JAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menolak gesaan supaya kerajaan memecat Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki susulan dakwaan berkaitan pegangan sahamnya dalam sebuah syarikat.
Anwar menegaskan, tiada asas untuk menyingkirkan Azam, sambil menyatakan beliau telah menjalankan tanggungjawabnya dengan baik.
“Orang buat kerja nak pecat mengapa? Baca penjelasannya (mengenai laporan dakwaan pegangan saham),” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia (ACCCIM) 2026, malam semalam.
Menurut Anwar, kritikan terhadap Azam adalah tidak sihat dan semua pihak seharusnya meneliti penjelasan diberikan sebelum membuat sebarang penghakiman.
Beliau menegaskan, keputusan tidak wajar dibuat tanpa mendengar penjelasan pihak terlibat serta mempertimbangkan fakta secara menyeluruh.
Isu itu timbul susulan laporan Bloomberg yang mendakwa Azam memiliki 17.7 juta saham atau 1.7 peratus dalam Velocity Capital Bhd berdasarkan penyata tahunan syarikat bertarikh 3 Februari tahun lalu.
Nama beliau dilaporkan masih tersenarai dalam daftar pemegang saham syarikat tersebut di Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).
Dakwaan tersebut menimbulkan persoalan mengenai kemungkinan pelanggaran pekeliling kerajaan 2024 yang menetapkan penjawat awam hanya boleh memegang saham dalam syarikat diperbadankan di Malaysia sekiranya pegangan itu tidak melebihi lima peratus daripada modal berbayar atau bernilai RM100,000, yang mana lebih rendah.
Bagaimanapun, semalam Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), M. Kulasegaran, memaklumkan di Dewan Rakyat, kuasa untuk membenarkan penjawat awam membuat pelaburan saham melebihi RM100,000 terletak di bawah bidang kuasa Ketua Setiausaha Negara.
Dalam perkembangan terbaharu hari ini, Azam memaklumkan beliau akan menghantar surat tuntutan kepada Bloomberg kerana mendakwa laporan tersebut berniat jahat dan mencemarkan reputasinya serta SPRM.
Azam turut menjelaskan, beliau telah mengisytiharkan pegangan saham berkenaan kepada Jabatan Perkhidmatan Awam pada Julai 2025 dan melupuskannya pada tahun yang sama.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L