Guan Eng gesa JPA jelaskan isu pegangan saham KP SPRM Azam Baki

KUALA LUMPUR – Penasihat DAP, Lim Guan Eng menggesa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) memberikan penjelasan terbuka berhubung isu pegangan saham Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki dalam syarikat perkhidmatan kewangan, Velocity Capital Partner Berhad.

Menurut beliau, JPA perlu menyatakan sama ada Azam telah melanggar Pekeliling Pengurusan Tatakelakuan dan Tatatertib Pegawai Awam 2024 susulan pembelian saham dalam jumlah yang didakwa melebihi had dibenarkan.

“Prinsip integriti, akauntabiliti dan ketelusan mesti ditegakkan, khususnya bagi pegawai yang memegang jawatan kritikal seperti Ketua Pesuruhjaya SPRM,” kata Ahli Parlimen Bagan itu dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, Azam memaklumkan beliau sedang mempertimbangkan tindakan undang-undang susulan laporan yang mendakwa beliau memegang 17.7 juta saham dalam syarikat berkenaan, bersamaan kira-kira 1.7 peratus kepentingan.

Beliau menjelaskan, saham tersebut dibeli tahun lalu dan telah dilupuskan pada tahun yang sama.

Berdasarkan julat harga saham antara RM0.015 hingga RM0.065 pada tahun lalu, nilai pegangan itu dianggarkan antara RM265,500 hingga RM1,150,500.

Peraturan 17(b) di bawah pekeliling 2024 menetapkan penjawat awam tidak dibenarkan memiliki saham melebihi RM100,000 dalam mana-mana satu syarikat.

Justeru, nilai pegangan yang dilaporkan itu didakwa jauh melebihi had yang ditetapkan.

Bagaimanapun, Azam dilaporkan memberitahu New Straits Times (NST), urus niaga tersebut mematuhi peraturan dan telah diisytiharkan dengan sewajarnya kepada JPA.

Beliau turut menyifatkan laporan yang mempersoalkan transaksi berkenaan sebagai berniat jahat dan berunsur fitnah.

Guan Eng menegaskan, sekiranya Azam tidak melanggar peraturan, beliau berhak menuntut keadilan melalui saluran undang-undang.

“Namun, jika didapati melanggar pekeliling tersebut, kerajaan perlu menjelaskan tindakan tatatertib yang telah atau akan diambil, termasuk sama ada siasatan khas perlu dijalankan dan sama ada wajar beliau terus memegang jawatan sekarang,” katanya.

Terkini, timbul pula dakwaan Azam memegang 4.52 juta saham dalam Awanbiru Technology Berhad, yang dianggarkan bernilai lebih RM790,000 berdasarkan harga terendah saham itu dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *