Perpecahan Melayu dan Harga yang Terpaksa Dibayar

Dari Meja Editorial

BARU hari ini, orang Melayu seolah baru tersedar mereka sedang bergaduh sesama sendiri. Hakikatnya, perbalahan ini bukan perkara baharu, tetapi sesuatu yang telah lama berakar dan berulang dari satu generasi ke generasi seterusnya.

Bezanya hari ini, kesannya semakin jelas dan akibatnya semakin dirasai. Ketika Melayu sibuk bertikam lidah, berperang persepsi dan menjatuhkan antara satu sama lain, pihak lain melihat dari jauh dengan tenang, mengatur langkah dan mengambil peluang daripada kekeliruan yang kita cipta sendiri.

Perbalahan sesama Melayu sering bermula daripada perbezaan pandangan, tetapi akhirnya bertukar menjadi permusuhan. Berbeza parti politik dianggap musuh, berbeza pendekatan agama dianggap ancaman, berbeza pendapat dilihat sebagai pengkhianatan.

📞 Heda: +6014-808 8897 | 💬 Iqi: +6010-924 2335

Persamaan yang jauh lebih besar iaitu agama, bahasa, sejarah dan tanah air sering diketepikan. Emosi mengatasi kebijaksanaan dan ego mengatasi kepentingan bersama.

Akhirnya, Melayu berpecah bukan kerana musuh terlalu kuat, tetapi kerana diri sendiri terlalu leka dan rapuh.

Jika diperhatikan dengan jujur, kaum bukan Melayu sejak dahulu lagi memahami satu perkara penting: perbezaan dalaman tidak boleh memusnahkan kepentingan bangsa.

Mereka boleh mempunyai pelbagai parti politik dan persatuan, namun dalam isu asas yang melibatkan ekonomi, pendidikan dan masa depan komuniti, kesatuan tetap menjadi keutamaan.

📞 +6019-936 9846 (Sharifah) | 💬 WhatsApp Tempahan
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan

Mereka mungkin bersaing sesama sendiri, tetapi tidak sampai meruntuhkan asas kekuatan bersama. Inilah realiti yang pahit, tetapi perlu diakui tanpa emosi dan tanpa penafian.

Sebaliknya, orang Melayu yang berkongsi begitu banyak persamaan masih gagal membina kesepakatan asas. Walaupun hanya ada tiga atau empat parti utama, perpecahan tetap berlaku sehingga ke peringkat akar umbi.

Setiap pihak merasakan diri paling benar, paling suci perjuangannya dan paling layak menentukan arah bangsa. Tenaga dihabiskan untuk menafikan dan menyerang sesama sendiri, sedangkan cabaran sebenar semakin kompleks dan mencabar.

Apabila undi berpecah, suara melemah. Apabila suara melemah, kuasa tawar-menawar hilang, dan apabila kuasa hilang, peluang akan berpindah ke tangan mereka yang lebih bersatu dan bersedia.

Dalam kekalutan ini, orang Melayu sebenarnya masih bernasib baik kerana satu tiang utama bangsa masih kekal utuh, iaitu Raja-Raja Melayu.

Dalam keadaan politik yang berubah-ubah, emosi rakyat yang tidak menentu, dan perbalahan dalaman yang berpanjangan, institusi Raja-Raja Melayu kekal sebagai payung terakhir menjaga keseimbangan dan kedaulatan tanah ini.

Hakikatnya, hari ini orang Melayu banyak bergantung kepada kebijaksanaan dan kewibawaan Raja-Raja Melayu untuk memastikan tanah Melayu ini terus kekal berdaulat seperti yang diwarisi.

Tanpa institusi Raja-Raja Melayu, sukar untuk dibayangkan apakah yang akan berlaku kepada kedudukan tanah, agama dan identiti Melayu.

Ketika orang Melayu sendiri saling bertelagah dan melemahkan kedudukan masing-masing, Raja-Raja Melayu berperanan sebagai benteng yang menghalang keruntuhan sepenuhnya.

Ini bukan soal politik kepartian, tetapi soal kesinambungan sejarah dan kelangsungan kedaulatan. Namun, pergantungan sepenuhnya kepada Raja-Raja Melayu tanpa usaha membina kesedaran dan kesatuan dalam kalangan rakyat sendiri adalah satu keadaan yang berbahaya dalam jangka panjang.

Apabila Melayu bergaduh, yang rugi bukan sekadar parti atau pemimpin tertentu, tetapi keseluruhan ekosistem bangsa. Perniagaan Melayu saling dijatuhkan, institusi Melayu dipertikaikan tanpa henti dan generasi muda membesar dalam suasana sinis serta keliru terhadap identiti sendiri.

Dalam keadaan ini, pihak lain tidak perlu melakukan apa-apa yang luar biasa. Cukup sekadar menunggu, memerhati dan mengambil apa yang ditinggalkan akibat perpecahan.

Perlu ditegaskan, tidak adil untuk menyalahkan kaum lain kerana mengambil kesempatan. Dalam dunia yang kompetitif, peluang sentiasa diambil oleh mereka yang bersedia.

Kesalahan terbesar terletak pada kegagalan orang Melayu mengurus perbezaan secara matang, berdisiplin dan berstrategi. Kita terlalu gemar membuka kelemahan sendiri kepada khalayak, terlalu cepat menghukum dan terlalu lambat bermuhasabah.

Lebih membimbangkan, ramai yang masih mencari musuh di luar, sedangkan punca sebenar terletak pada sikap sendiri. Bangsa yang kuat tidak runtuh kerana kritikan, tetapi kerana enggan belajar daripada kesilapan.

Bangsa yang berjaya tidak bergantung kepada seorang tokoh atau satu institusi semata-mata, tetapi kepada kesedaran kolektif dan keupayaan mengurus perbezaan dengan bijaksana.

Selagi orang Melayu terus bertuhankan individu dan emosi, selagi itulah perpecahan akan berulang dengan wajah yang berbeza.

Melayu perlu sedar, berbeza pendapat adalah fitrah, tetapi bermusuhan adalah pilihan. Kita boleh berlainan parti, berlainan pendekatan dan berlainan gaya perjuangan, namun asas kepentingan bangsa dan kedaulatan tanah air sepatutnya tidak digadai.

Raja-Raja Melayu telah memainkan peranan mereka sebagai payung dan benteng, tetapi rakyat Melayu sendiri mesti memikul tanggungjawab untuk memperkukuh kesatuan dan kematangan politik serta sosial.

Jika budaya menjatuhkan sesama sendiri ini tidak dihentikan, jangan terkejut jika suatu hari nanti orang Melayu hanya menjadi penonton di tanah sendiri, bergantung sepenuhnya kepada pihak lain untuk mempertahankan apa yang sepatutnya dipelihara bersama.

Sejarah telah berkali-kali memberi amaran, namun kita sering memilih untuk mengulang kesilapan yang sama.

Persoalannya kini bukan lagi siapa yang paling betul atau siapa yang paling lantang, tetapi sama ada orang Melayu sanggup belajar, berubah, dan bersatu dalam perkara yang paling asas sebelum segalanya menjadi penyesalan. Kesedaran itu masih ada, tetapi masa untuk bertindak semakin singkat. – ND

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *