PUTRAJAYA – Mantan Timbalan Menteri Luar, Datuk Wira Marzuki Yahya menyatakan bantahan keras cadangan Menteri Wilayah, Hannah Yeoh untuk memperkenalkan pilihan raya bagi memilih Datuk Bandar Kuala Lumpur, termasuk sebarang usaha menjalankan kajian ke arah pelaksanaannya.
Tegasnya, beliau tidak bersetuju dengan cadangan itu kerana kaedah sedia ada, iaitu pelantikan Datuk Bandar dari kalangan penjawat awam kanan adalah lebih sesuai, stabil dan selari dengan tradisi pentadbiran negara.
Beliau yang juga Ketua Setiausaha Sekretariat Orang Melayu berkata, sistem pelantikan yang diamalkan sejak sekian lama itu telah terbukti berfungsi dengan baik tanpa menimbulkan ketegangan kaum, ketidakstabilan politik atau gangguan terhadap keharmonian pentadbiran ibu negara.
“Jawatan Datuk Bandar Kuala Lumpur bukan sekadar jawatan pengurusan bandar, tetapi mempunyai nilai simbolik, sejarah dan kepentingan strategik sebagai pentadbir ibu negara yang terletak di tanah Melayu serta menjadi pusat pentadbiran Persekutuan.
“Justeru, sebarang cadangan untuk mengubah kaedah pelantikan, walaupun sekadar di peringkat kajian, perlu ditolak kerana ia menyentuh perkara sensitif dan berpotensi membuka ruang kepada implikasi besar yang tidak diingini,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.
Jelas Marzuki, tiada keperluan langsung atau mendesak untuk mengkaji, apatah lagi melaksanakan pilihan raya Datuk Bandar Kuala Lumpur kerana ia bukan sahaja tidak perlu, malah berisiko mencetuskan polemik awam, membangkitkan ketegangan kaum serta mengheret jawatan pentadbiran profesional ke dalam kancah politik kepartian dan persaingan populariti.
Beliau turut menyuarakan kebimbangan jawatan Datuk Bandar Kuala Lumpur berkemungkinan dipegang oleh individu yang tidak memahami atau tidak sensitif terhadap sejarah, tradisi dan kedudukan Melayu sebagai teras pembinaan negara, sesuatu yang selama ini terpelihara melalui kaedah pelantikan.
“Tradisi ini bukan bertujuan menafikan hak mana-mana pihak, sebaliknya berfungsi untuk mengekalkan keseimbangan, kestabilan dan keharmonian nasional yang telah lama dipersetujui.
“Sebarang usaha reformasi pentadbiran bandar seharusnya memberi tumpuan kepada peningkatan kecekapan, integriti, ketelusan dan mutu perkhidmatan kepada rakyat, bukannya memperkenalkan perubahan struktur yang boleh menggugat asas perpaduan dan kestabilan negara,” katanya.
Mengemukakan cadangan dalam bentuk kajian sekalipun, katanya, dilihat sebagai langkah awal ke arah menormalisasikan idea yang tidak sesuai dengan realiti serta sejarah negara.
Sehubungan itu, beliau menggesa Kerajaan Persekutuan supaya menghentikan sepenuhnya cadangan tersebut, termasuk pada peringkat kajian, dan menghormati sistem sedia ada yang telah terbukti berkesan.
“Sebarang perubahan dasar yang melibatkan jawatan strategik seperti Datuk Bandar Kuala Lumpur mesti mengambil kira sensitiviti sejarah, struktur Perlembagaan serta keharmonian masyarakat majmuk,” katanya.
Marzuki menegaskan, beliau akan terus berpendirian tegas dalam mempertahankan kepentingan orang Melayu dan kestabilan negara selaras dengan Perlembagaan Persekutuan serta semangat muafakat nasional.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L