Sultan Selangor, Tengku Permaisuri berangkat ke Majlis Penutupan Tilawah dan Hafazan Al-Quran

SHAH ALAM – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin berkenan berangkat ke Majlis Penutupan Tilawah dan Hafazan Al-Quran peringkat Selangor Tahun 1447H/2026M, malam tadi.

Keberangkatan tiba baginda berdua di Dewan Syarahan dan Muzakarah Islam Shah Alam, Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini, disambut Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Dr. Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin dan Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Datuk Mohd Shahzihan Ahmad.

Mohd Shahzihan dalam sembah ucapan pengumuman keputusan memaklumkan, Ahli Lembaga Akademi Literasi Al-Quran Selangor (ALAS) bersetuju memberikan insentif elaun bulanan khas kepada johan tilawah dan hafazan pada Majlis Tilawah dan Hafazan peringkat Kebangsaan yang akan berlangsung di Terengganu, April ini.

Beliau berkata, ia membabitkan elaun bulanan selama lapan bulan sebanyak RM800 bagi johan qari atau qariah, manakala bagi johan hafazan lelaki dan perempuan Tahap 1 sebanyak RM300, Tahap 2 (RM400) dan Tahap 3 (RM500).

“Peserta Selangor yang mendapat kedudukan johan qari dan qariah serta johan hafazan dalam semua kategori pada peringkat kebangsaan akan menerima elaun bermula Mei hingga Disember 2026.

“Semua peruntukan disediakan khas oleh ALAS,” katanya.

Pada majlis sama, Sultan Sharafuddin berkenan menyampaikan hadiah kepada Peserta Terbaik Keseluruhan Tilawah Al-Quran dan Peserta Terbaik Keseluruhan Hafazan Al-Quran (Tahap 1-30) masing-masing kepada Muhammad Isyraq Shahruddin dan Ahmad Faris Iqbal Mohd Roslan.

Muhammad Isyraq dan Ahmad Faris masing-masing membawa pulang kepingan emas bernilai RM10,000 serta tambahan 0.5 gram emas tajaan sebuah syarikat swasta.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *